Lumba haram: 10 warga Malaysia didenda di Hat Yai

Sepuluh pelancong Malaysia didenda polis Thailand kerana memandu secara berbahaya di Hat Yai. Foto tangkap layar video tular
Sepuluh pelancong Malaysia didenda polis Thailand kerana memandu secara berbahaya di Hat Yai. Foto tangkap layar video tular
A
A
A

SONGKHLA - Sepuluh pelancong Malaysia dikenakan denda oleh polis Thailand atas kesalahan memandu secara berbahaya di Daerah Hat Yai pada Jumaat lepas.

Kumpulan itu, terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 21 hingga 37 tahun, dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di jalan berhampiran Bazaar Greenway, selepas aduan diterima daripada penduduk setempat.

Ketua Polis Kohong Hat Yai, Kol. Pol. Apichat Wannako berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 1.30 pagi, dan pihaknya menerima laporan daripada penduduk yang bimbang dengan keselamatan jalan raya di kawasan terbabit.

"Selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan mendapati enam kereta berdaftar di Malaysia yang telah diubah suai digunakan untuk memandu secara berbahaya. Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengesan dan menjejaki suspek," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurut Apichat, semua suspek telah mengakui kesalahan mereka dan membayar denda sebanyak 5,000 Baht setiap seorang sebelum dibebaskan pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan pelancong agar mematuhi undang-undang di Thailand bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!