Women Coop Fest 2025 anjuran KOWIMA sasar tarik minat belia

KONSORTIUM Koperasi Wanita Malaysia Berhad (KOWIMA) buat julung kalinya menganjurkan Women Coop Fest 2025 bertujuan mempromosi produk koperasi wanita serta memberi pendedahan dunia koperasi terutama kepada generasi muda.
Pengerusi KOWIMA, Rozilah Mohamad Tahir berkata, selain menjadi platform jualan produk, festival turut diharapkan dapat menarik minat dan penglibatan golongan belia untuk menyertai koperasi.
“Kami berharap dapat menarik penyertaan ramai belia dalam festival ini menerusi aktiviti seperti pertandingan e-sport yang sememangnya digemari anak muda.
“Dari situ kita berpeluang memberi pendedahan mengenai koperasi dalam cara lebih interaktif sekali gus menarik minat anak muda untuk menubuhkan koperasi wanita dalam e-sport misalnya," katanya pada sidang media di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pada Rabu.
Tambah Rozilah, selain pertandingan e-sport, festival empat hari bermula 16 hingga 19 Oktober di MyTown Shopping Mall itu turut menampilkan pelbagai tarikan menarik untuk pengunjung bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Antaranya pertandingan kucing Mr & Mrs Meow, pertandingan karaoke, persembahan kebudayaan, pertandingan dekorasi menghias kek, pertandingan memasak serta ceramah agama.
Tidak ketinggalan, reruai pameran dan jualan yang mengetengahkan pelbagai produk usahawan wanita seperti fesyen, kecantikan, makanan, kraftangan serta trak makanan yang menawarkan sajian enak tempatan dan antarabangsa.
Menerusi pelbagai aktiviti dan jualan menarik yang telah direncanakan, KOWIMA menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung selama festival berlangsung.
Sementara itu, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menyifatkan penganjuran Women Coop Fest 2025 adalah bertepatan dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC 2025) bertemakan ‘Be The Better World’.
“Angkasa juga berbangga kerana festival ini bukan sahaja mengangkat peranan dan kepentingan koperasi wanita malah turut memberi peluang kepada KOWIMA untuk membuktikan keberadaan mereka dalam arus perdana gerakan koperasi.
"Menerusi Women Coop Fest 2025 ini juga diharapkan lebih banyak koperasi wanita melibatkan diri dan seterusnya menjadi ahli KOWIMA," katanya.
Lebih istimewa, Jualan Rahmah turut akan diadakan selama dua hari bermula pada hari perasmian Women Coop Fest 2025 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sekali gus bakal menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
Ringkasan AI
- Konsortium Koperasi Wanita Malaysia Berhad (KOWIMA) menganjurkan Women Coop Fest 2025 untuk mempromosi produk koperasi wanita
- Festival menjadi platform jualan dan bertujuan menarik minat belia sertai koperasi melalui aktiviti seperti pertandingan e-sport
- Festival empat hari di MyTown Shopping Mall menawarkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan kucing, karaoke, dan ceramah agama
- KOWIMA menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung dengan pelbagai reruai pameran dan jualan produk usahawan wanita
- Penganjuran festival ini bertepatan dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC 2025) dan diharapkan melibatkan lebih banyak koperasi wanita
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

