'Pelajar terpaksa jual burger untuk beli rokok'

Syukri (bukan nama sebenar) terpaksa kerja sampingan untuk mencari wang saku membeli rokok
A
A

BEGITU mengejutkan apabila beberapa pelajar sekolah mengaku terpaksa membuat kerja sambilan untuk mencari duit poket semata-mata mahu membeli rokok.

Beberapa pelajar mendedahkan aktiviti mereka itu kepada Wartawan Sinar Siasat.

Misalnya seorang pelajar berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Subang, Selangor, berkata, dia menjual burger untuk mencari duit bagi membeli rokok akibat ketagihan rokok sekurang-kurangnya 10 batang dalam masa sehari.

Menurut Kamal (bukan nama sebenar), dengan menjual burger dia boleh memperoleh wang antara RM50 hingga RM100 sehari.

Katanya wang hasil itu akan digunakan sebahagiannya untuk belanja membeli rokok seludup dengan harga sekitar RM4 sekotak.

"Nak tak nak kena kerja sambilan untuk dapatkan duit beli rokok. Saya hisap rokok sejak darjah empat di sekolah rendah akibat pengaruh kawan. Saya rasa kenyang bila hisap rokok, tak makan pun tak apa," kata pelajar berasal dari Shah Alam itu.

Seorang lagi pelajar bernama Udin (bukan nama sebenar) yang berusia 16 tahun juga mengaku terpaksa membuat kerja sambilan menjual barangan keperluan lelaki semata-mata mahu mendapatkan wang saku membeli rokok seludup.

"Saya tahu rokok membahayakan kesihatan tapi saya tak tahan kalau tak hisap rokok. Buat masa ini, saya cuma terfikir nak berhenti merokok bila saya tua nanti," katanya.

Manakala, bagi seorang pelajar di sebuah kolej vokasional di Negeri Sembilan dikenali sebagai Syukri (bukan nama sebenar), 17, pula berkata, dia sanggup mengambil upah mencuci pinggan di kedai berhampiran sekolahnya untuk mencari wang belanja membeli rokok.

Menurut anak kedua dari empat adik beradik itu, sekiranya bekerja dia boleh membeli rokok berjenama memandangkan menerima upah sekitar RM20 sehari.

"Kalau tak kerja, saya beli rokok seludup kerana harganya lebih murah iaitu bawah RM10 sekotak,' katanya.

Dia mula menghisap rokok sejak berusia 14 tahun akibat terpengaruh rakan sebaya.