Presiden Turkiye tekankan keperluan reformasi PBB dalam perjumpaan dengan Guterres

ISTANBUL - Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menekankan keperluan reformasi dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil menyatakan bahawa Turkiye akan menyumbang kepada proses itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam pertemuannya dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di New York pada Selasa, Erdogan berkata, keperluan untuk menyemak semula sistem PBB jelas muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut kenyataan Direktorat Komunikasi Turkiye, pertemuan itu membincangkan isu serantau dan global, khususnya serangan Israel di Gaza.
Erdogan menegaskan Turkiye akan terus memberikan segala bentuk sumbangan terhadap usaha reformasi itu, sambil menekankan bahawa kepentingan memelihara keamanan dunia semakin difahami dengan lebih jelas berdasarkan cabaran yang dihadapi dunia sejak beberapa tahun lepas.
Beliau berkata, serangan Zionis bukan sahaja menyasarkan rakyat Palestin tetapi juga keamanan serantau dan global, dan masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan tekanan terhadap Israel bagi memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat disalurkan tanpa gangguan.
Erdogan turut menyatakan bahawa Turkiye sedang menggandakan usaha untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine, dengan menekankan keperluan segera gencatan senjata dan keamanan berkekalan. - Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menekankan keperluan reformasi dalam sistem PBB
- Erdogan menyatakan Turkiye akan menyumbang kepada proses reformasi tersebut
- Pertemuan membincangkan isu serantau dan global termasuk serangan Israel di Gaza
- Erdogan menegaskan pentingnya memelihara keamanan dunia melalui reformasi PBB
- Erdogan menyatakan usaha meningkatkan tekanan terhadap Israel dan menamatkan perang Rusia-Ukraine
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
