Kestabilan, pengurusan kewangan berhemah kunci kepada pertumbuhan Malaysia - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan Madani yang diadakan di sebuah hotel. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan Madani yang diadakan di sebuah hotel. Foto Bernama
A
A
A

DILI (Timor-Leste) - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah telah membolehkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Bercakap pada Majlis Temu Mesra Madani bersama diaspora Malaysia, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sini, beliau berkata, keamanan serta kestabilan adalah asas utama kepada reformasi dalam bidang pendidikan, institusi dan tenaga selain pemacu pendigitalan dan kecerdasan buatan.

Anwar, yang kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Timor-Leste berkata, kestabilan politik membolehkan Malaysia melaksanakan reformasi secara berperingkat tanpa mencetuskan perpecahan.

"Kita faham bahawa reformasi perlu dilakukan dengan bijaksana, bukan secara keras atau tergesa-gesa. Mengapa kita di Malaysia mencapai kemajuan? Pertama sekali, kerana wujudnya keamanan dan kestabilan politik,” katanya.

Beliau juga berkata, kepimpinan berwibawa, kerjasama antara perkhidmatan awam dan sektor swasta adalah penting dalam menarik pelaburan langsung asing serta mengukuhkan pelaburan domestik sekali gus memastikan ekonomi terus berkembang.

Anwar berkata, tadbir urus yang baik adalah teras kepada kemajuan Malaysia dan memberi peringatan tegas mengenai bahaya gejala rasuah, penyelewengan dan pembaziran.

Menyorot pendekatan fiskal berhemat pentadbirannya, beliau memaklumkan bahawa harga petrol telah berjaya diturunkan kepada RM1.99 seliter iaitu antara yang terendah di dunia hasil daripada proses perolehan yang ketat, penjimatan dalam projek tebatan banjir dan pelaksanaan subsidi bersasar.

Perdana Menteri turut menggesa rakyat Malaysia agar bangkit mengatasi politik perkauman atau wilayah sambil memberi amaran bahawa retorik bersifat perpecahan mampu meruntuhkan negara.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia ke arah pendigitalan, peralihan tenaga, pendidikan dan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Petronas atas penglibatannya di Timor-Leste sebagai manifestasi kerjasama serantau.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kestabilan politik dan pengurusan kewangan berhemah membolehkan Malaysia melaksanakan pembaharuan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi
  • Keamanan dan kestabilan merupakan asas utama kepada reformasi pendidikan, institusi, tenaga, pendigitalan dan kecerdasan buatan
  • Kestabilan politik Malaysia membolehkan pelaksanaan reformasi secara berperingkat tanpa mencetuskan perpecahan
  • Pentadbiran Anwar menekankan tadbir urus yang baik dan memberi amaran terhadap rasuah, penyelewengan dan pembaziran
  • Pendekatan fiskal berhemat menyebabkan harga petrol di Malaysia antara terendah di dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!