Op PUU kesan kesalahan lalu lintas paling tinggi di ibu negara

KUALA LUMPUR - Halangan lalu lintas dan mengabaikan isyarat lalu lintas direkodkan antara kesalahan tertinggi dikesan dalam kempen advokasi operasi patuh undang-undang (Op PUU) di ibu negara dalam tempoh dua hari.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, operasi yang bermula Ahad lalu telah mengeluarkan sebanyak 7,000 notis advokasi.
Menurutnya, pecahan notis advokasi adalah sebanyak 2,590 terhadap motosikal, kereta (3,235), van (190), lori (162), teksi (43) dan pejalan kaki (43).
“Notis advokasi paling tinggi ialah halangan lalu lintas (2,879), mengabaikan isyarat lalu lintas (1,692), tidak mengikut lintasan pejalan kaki (780), berhenti di petak kuning (202), serta nombor pendaftaran kenderaan kotor, kabur atau ‘fancy’ (687).
"Selain itu, kesalahan lain ialah tidak memakai tali pinggang keledar (81), mengubah suai motosikal (162), tidak memakai topi keledar (336), dan berhenti melebihi garisan putih (181)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Secara keseluruhan, tambahnya, sebanyak 49,289 notis advokasi Op PUU telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas di sekitar ibu negara sejak 6 September lalu.
Untuk rekod, Op PUU yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menumpukan kepada aspek pendidikan, pembabitan komuniti, pengurangan kesesakan akibat sikap pengguna jalan raya dan usaha pencegahan jenayah.
Operasi itu juga bertujuan menanam kesedaran jangka panjang mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
Ringkasan AI
- Halangan lalu lintas dan mengabaikan isyarat lalu lintas adalah kesalahan tertinggi dalam operasi patuh undang-undang di Kuala Lumpur
- Sebanyak 7,000 notis advokasi telah dikeluarkan dalam tempoh dua hari operasi
- Notis advokasi tertinggi dikeluarkan untuk kesalahan halangan lalu lintas, diikuti mengabaikan isyarat lalu lintas dan tidak mengikut lintasan pejalan kaki
- Kesalahan lain termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, mengubah suai motosikal dan tidak memakai topi keledar
- Secara keseluruhan, 49,289 notis advokasi telah dikeluarkan sejak 6 September menyasarkan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
