Piala Sultan Selangor: 5 jalan ditutup, dilencong berperingkat - Polis

Mohamed Usuf
Mohamed Usuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima jalan akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan sepanjang Piala Sultan Selangor (PSS) edisi ke-21 di Stadium Merdeka pada Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, perlawanan bermula jam 9 malam melibatkan pertemuan antara Selangor dan Singapura.

Menurutnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan menugaskan seramai 115 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan pengguna jalan raya dan penyokong yang hadir.

"Penutupan dan lencongan jalan raya bermula pada jam 2 petang sehingga tamat perlawanan.

"Beberapa penutupan dan lencongan jalan raya sementara akan dilaksanakan secara berperingkat di laluan utama seperti Jalan Maharajalela (Bulatan Merdeka), Jalan Hang Tuah (susur masuk ke Jalan Hang Jebat), Jalan Hang Jebat, Jalan Stadium dan Jalan Merdeka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan polis di lokasi.

Tambahnya, orang ramai turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Stadium Merdeka bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267 / 0269 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," ujarnya.

PSS edisi ke-21 kembali menggegarkan Stadium Merdeka dengan pertembungan klasik antara pasukan Selangor dan Singapura sekali gus menghidupkan semula nostalgia bola sepak serantau.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi dan Pengurus Pasukan PSS 2025, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kejohanan itu dianjurkan bukan sekadar hiburan, tetapi untuk mengekalkan legasi bola sepak lama yang pernah mencetus fenomena.

Ringkasan AI

  • Lima jalan akan ditutup dan dilencongkan bagi Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka
  • Perlawanan antara Selangor dan Singapura bermula jam 9 malam
  • Seramai 115 pegawai dan anggota ditugaskan untuk kelancaran lalu lintas
  • Penutupan jalan bermula jam 2 petang sehingga tamat perlawanan
  • Pengguna dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!