Kempen tingkatkan kesedaran, utamakan premis dan produk halal

Sudah sampai masanya kita menjadikan amalan memeriksa status halal sebagai budaya harian, bukan sekadar pilihan. Gambar hiasan
Sudah sampai masanya kita menjadikan amalan memeriksa status halal sebagai budaya harian, bukan sekadar pilihan. Gambar hiasan
A
A
A

MENGUTAMAKAN premis dan produk halal bukanlah sekadar slogan semata-mata, malah ia merupakan suatu seruan penting yang menyentuh aspek akidah, kesihatan dan maruah umat Islam.

Dalam suasana masyarakat berbilang bangsa dan agama, keperluan untuk memberi keutamaan kepada produk serta perkhidmatan halal semakin mendesak.

Hal ini kerana halal tidak hanya berkaitan dengan makanan semata-mata, malah ia turut merangkumi keseluruhan ekosistem kehidupan bermula dari kebersihan premis, proses pengeluaran, kewangan hinggalah kepada gaya hidup.

Bagaimanapun, cabaran masih wujud dalam isu halal ini. Sikap sambil lewa dalam memeriksa logo halal, terpedaya dengan iklan mengelirukan atau kecenderungan memilih yang murah tanpa menilai status halal masih menjadi realiti semasa.

Di sinilah kempen kesedaran dan utamakan premis serta produk halal harus diperluas dan diperkasa. Ia bukan hanya kerja pihak berkuasa atau agensi agama semata-mata tetapi juga memerlukan kesedaran kolektif pengguna.

Akhbar ini sebagai contoh, sejak 16 Ogos tahun lalu telah menerbitkan sisipan Sinar Islam Plus Edisi Halal setiap bulan dalam usaha memberi dan meningkatkan kesedaran pembaca.

Masyarakat juga perlu menunjukkan sokongan kepada premis yang jelas mematuhi piawaian halal dan pada masa sama menolak mana-mana pihak yang mengambil mudah soal pensijilan halal.

Tinggalkan segera premis yang menyalahgunakan logo dan istilah yang mengelirukan seperti ‘No pork, no lard’, Muslim Friendly, ‘bahan yang digunakan adalah halal’ dan seumpamanya.

Tindakan ini secara langsung memberi isyarat bahawa umat Islam serius menjaga amanah halal. Pada masa yang sama, ia mendorong para peniaga lebih bertanggungjawab dan telus.

Artikel Berkaitan:

Jika kempen ini berjaya dilaksanakan, maka premis-premis yang sebelum ini yang tidak mempunyai logo halal akan mula mengambil tindakan memohon sijil halal dan ini akan menyebabkan peningkatan premis serta produk halal di pasaran.

Pada akhirnya, setiap individu akan menjadikan halal sebagai pilihan utama, bukan sekadar mematuhi tuntutan agama, malah ia sekali gus membina kekuatan ekonomi ummah.

Sudah sampai masanya kita menjadikan amalan memeriksa status halal sebagai budaya harian, bukan sekadar pilihan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!