Farm Fresh tembusi pasaran Kemboja hasil inisiatif PM

SHAH ALAM - Farm Fresh mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membuka jalan kepada syarikat berkenaan untuk mengeksport produk tenusu ke Kemboja.
Ketua Pengarah Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, ia bermula selepas Kemboja menyekat kemasukan produk Thailand dari darat yang menyebabkan bekalan susu segar menjadi kritikal.
Menurutnya, Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN mencadangkan Farm Fresh membekalkan susu segar dengan kadar segera ke Kemboja.
"Selepas pergeseran antara Kemboja dan Thailand, rakyat Kemboja memboikot produk Thailand.
"Atas inisiatif PMX, Aeon adalah pasar raya pertama yang mengeluarkan Pesanan Pembelian (PO) kepada Farm Fresh atas dasar keyakinan serta hubungan niaga yang telah lama terjalin bersama mereka.
"Alhamdulillah kini susu pasteur, Aus Fresh dan yogurt Farm Fresh menjadi pilihan rakyat Kemboja. Tak sampai seminggu habis licin," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Tambah Azmi, Kemboja merupakan negara ASEAN keempat selepas Singapura, Brunei dan Filipina yang berjaya dimasuki Farm Fresh.
Jelasnya, syarikat itu kini menjadi pengeksport produk tenusu walaupun sebelum ini ada pihak yang menganggap ia mustahil disebabkan faktor cuaca.
"Kini kafe dan hotel di Kemboja mula meminta bekalan daripada kami.
"Dulu pesaing kata mustahil Malaysia boleh jadi pengeksport produk tenusu kerana cuaca tidak sesuai, tetapi bagi kami bukan cuaca yang menentukan, sebaliknya siapa yang mengusahakannya. Alhamdulillah, kami berjaya melakukannya.
"Terima kasih PMX dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang banyak membantu merealisasikan projek ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

