'Ulat' tawar RM83 tapi peras RM836 bila sampai destinasi

BANGI – Kelicikan seorang wanita memperdaya dan memeras pelancong asing dengan menawarkan khidmat kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang akhirnya memakan diri selepas dia ditahan pada Isnin.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, wanita tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan di KLIA Terminal 2 kira-kira jam 1 pagi hasil risikan pihaknya.
Menurutnya, kereta jenis Perodua Axia yang digunakan suspek telah disita mengikut Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2017, selain permohonan lucut hak kenderaan dibuat di mahkamah majistret.
“Suspek pertama kali ditangkap. Walaupun tindakannya sudah tular (menipu tawaran harga), dia masih melakukannya. Ulat tegar.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bergerak secara berkumpulan menawarkan khidmat kereta sewa haram di KLIA,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Cawangan Bangi, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah mendekati pelancong yang baru tiba dengan menjanjikan tawaran harga murah.
Tambah Azrin, berdasarkan kes yang tular, wanita itu menawarkan harga RM83 kepada seorang pelancong dari China, namun setelah sampai ke destinasi di Kuala Lumpur, caj dikenakan berjumlah RM836.
“Setakat ini, tiada laporan mangsa (penumpang) diugut sekiranya tidak membayar.
“Semasa suspek ditahan, pasukan operasi mengesan dia menggunakan modus operandi sama dengan cuba menawarkan khidmat kepada pelancong dari Filipina,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, statistik kes teksi haram di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 pada tahun ini sehingga 22 September mencatatkan 143 tangkapan termasuk melibatkan warga asing dengan jumlah denda sebanyak RM419,200.
“Kepada semua ‘ulat’, diingatkan supaya tidak meneruskan kegiatan ini kerana operasi penguatkuasaan dilaksanakan dari masa ke masa,” tegasnya.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengucapkan syabas dan terima kasih atas tindakan pantas JPJ dalam menangani isu ‘ulat’ yang merosakkan imej negara.
Ringkasan AI
- Wanita ditahan kerana menawarkan kereta sewa haram di KLIA
- Kereta Perodua Axia digunakan suspek telah disita
- Suspek pertama kali ditangkap kerana menipu pelancong dengan harga
- Modus operandi adalah menawarkan harga murah dan kemudian mengenakan caj tinggi
- Seramai 143 tangkapan teksi haram di KLIA dilakukan hingga 22 September tahun ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
