Wang kertas baharu Brunei 2026 seragamkan penggunaan Dolar Brunei, ganti istilah Ringgit

BND1, BND5, BND10, BND100, dan BND500 yang menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan mata wang negara Brunei. Agensi
BND1, BND5, BND10, BND100, dan BND500 yang menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan mata wang negara Brunei. Agensi
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN-Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) pada Isnin mengumumkan penerbitan siri baharu wang kertas, yang dijadualkan mula diedarkan pada separuh pertama 2026.

Menurut kenyataan akhbar bank pusat, siri baharu ini merangkumi lima denominasi (nilai pecahan wang) iaitu BND1, BND5, BND10, BND100, dan BND500 yang menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan mata wang negara.

BDCB menjelaskan bahawa wang kertas baharu ini menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan selaras dengan kemajuan global dalam industri mata wang, bagi mengekalkan integriti wang Brunei dan meningkatkan perlindungan daripada pemalsuan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen BDCB untuk memastikan mata wang kita kekal selamat dan terjamin, terutamanya kerana wang tunai terus memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, walaupun negara bergerak ke arah ekonomi digital,” kata bank pusat itu.

Walaupun memperkenalkan elemen baharu, reka bentuk wang kertas tetap mengekalkan identiti dan warisan kebangsaan Brunei.

Potret Sultan Hassanal Bolkiah akan terus menghiasi wang kertas BND1, BND5, BND10 dan BND100, manakala BND500 menampilkan potret Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Dalam perubahan signifikan, siri baharu ini akan menyeragamkan penggunaan istilah “Dolar Brunei” pada semua denominasi, menggantikan istilah “Ringgit” sebelum ini, selaras dengan Perintah Mata Wang 2004.

Langkah ini bertujuan meningkatkan kefahaman orang ramai dan menggalakkan penggunaan istilah rasmi secara konsisten.

Siri wang kertas baharu juga memperkenalkan ciri DOMINO™ untuk membantu golongan kurang upaya penglihatan. Inovasi ini terdiri daripada titik timbul di bahagian kanan bawah setiap wang kertas, dengan setiap denominasi mempunyai susunan unik bagi memudahkan pengecaman.

Artikel Berkaitan:

BDCB menekankan bahawa semua wang kertas sedia ada tetap sah dan akan terus beredar bersama siri baharu ini.-Agensi

Ringkasan AI

  • Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) mengumumkan penerbitan siri baharu wang kertas pada separuh pertama 2026
  • Siri baharu merangkumi lima denominasi yaitu BND1, BND5, BND10, BND100, dan BND500
  • Wang kertas baharu menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan untuk memperkuat perlindungan daripada pemalsuan
  • Potret Sultan Hassanal Bolkiah akan menghiasi wang kertas BND1, BND5, BND10, dan BND100, sedangkan BND500 akan menampilkan potret Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien
  • Siri baharu akan menggunakan istilah "Dolar Brunei" pada semua denominasi menggantikan "Ringgit" dan memperkenalkan ciri DOMINO untuk membantu golongan kurang upaya penglihatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!