Hujan lebat dua jam, Kangkar Pulai dilanda banjir kilat

ISKANDAR PUTERI – Hujan lebat berterusan lebih dua jam pada sebelah petang Isnin mengakibatkan dua rumah dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Kangkar Pulai.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Johor Bahru, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 3.51 petang sebelum sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi pada jam 4.06 petang.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 4.34 petang dan mendapati dua rumah terjejas. Bagaimanapun, keadaan terkawal dengan air mula surut serta cuaca kembali cerah.
“Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, tular sebuah video memaparkan banjir kilat di laluan Pulai Jaya menghala Taman Teratai, Skudai sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terkandas dan kesesakan luar biasa berlaku.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum itu mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Johor melibatkan Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga jam 5 petang Isnin.
Ringkasan AI
- Hujan lebat berterusan lebih dua jam mengakibatkan dua rumah dinaiki air dalam kejadian banjir kilat di Kangkar Pulai
- Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian selepas dilaporkan
- Dua rumah terjejas namun keadaan terkawal dengan air mula surut dan cuaca kembali cerah
- Tiada pusat pemindahan sementara dibuka berikutan kejadian itu
- Video banjir kilat di laluan Pulai Jaya tular, menyebabkan kenderaan terkandas dan kesesakan luar biasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

