MuviiGrind mulakan pencarian bakat baharu

MUVIGRIND, platform inovatif dalam industri hiburan sedang memulakan pencarian bakat-bakat baharu untuk menyertai produksi drama vertikal terbaru yang bakal mengangkat kisah-kisah kehidupan masyarakat di seluruh rantau ASEAN, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, dan Thailand.
MuviGrind dalam satu kenyataan berkata, dengan fokus utama kepada negara-negara ASEAN, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi pertama untuk sesi uji bakat, bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN ke-47.
"Langkah ini juga mencerminkan komitmen MuviiGrind dalam memperkaya industri hiburan serantau dengan suara-suara baru yang relevan," kata kenyataan itu pada Isnin.

Sesi uji bakat yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang di Teedo Hotel, Kuala Lumpur, menyaksikan lebih daripada 120 peserta hadir, yang semuanya bersemangat untuk memeriahkan dunia drama vertikal yang sedang berkembang pesat.
Menurut kenyataan itu lagi, lebih daripada 480 individu telah mendaftar dari seluruh Malaysia.
"Atas atas sambutan luar biasa tersebut, MuviiGrind merancang untuk mengadakan sesi kedua dalam waktu terdekat bagi memenuhi permintaan yang tinggi," kata kenyataan itu.
Lokasi uji bakat yang terletak di pusat ibu kota, dengan akses mudah melalui pengangkutan awam dan kemudahan parkir yang mencukupi, turut mendapat respon positif daripada peserta yang hadir.Teedo Hotel, sebagai lokasi rasmi, turut menyediakan kemudahan makan sepanjang sesi uji bakat berlangsung, memastikan keselesaan para peserta dan panel.
Panel penghakiman untuk sesi uji bakat ini terdiri daripada nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia, antaranya Datuk Fauziah Nawi, Rosnah Johari, dan Zila Bakarin, yang masing-masing membawa pengalaman lebih dari empat dekad dalam dunia seni.Datuk Fauziah Nawi dan Rosnah Johari telah mengukir nama mereka sejak era 80-an, sementara Zila Bakarin pula memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 1997 melalui filem Sate.
"Selain mereka, turut bersama-sama dalam panel adalah beberapa tokoh terkenal dalam industri hiburan seperti Hafiz Derani, Zaiham Zainal (Curly Jow), dan Rizuan Md Nor (Apple), yang masing-masing dikenali sebagai pengarah dan penulis skrip prolifik yang telah menghasilkan karya-karya popular yang mendapat sambutan hangat di kalangan penonton," katanya.

Bagi memberi dimensi lebih luas kepada para peserta, pelakon Danial Dashuki dan Tiara Suraya juga dijemput untuk turut serta sebagai panel dalam sesi uji bakat ini. Kehadiran mereka bertujuan untuk memberi pendedahan tambahan kepada para calon agar dapat bersedia untuk melepasi peringkat pemilihan yang sangat kompetitif.
MuviiGrind turut menerima sokongan luar biasa daripada pihak Teedo Hotel yang menjadi penaja lokasi, serta Dosz Coffee Malaysia, yang menyediakan lebih 500 cawan minuman pelbagai jenis seperti kopi, cokelat, dan teh, yang turut disambut dengan baik oleh para peserta dan penganjur.
Melihat kepada sambutan yang positif, MuviiGrind berhasrat untuk meneruskan kerjasama dengan lebih banyak pihak dalam usaha memperkukuh jaringan industri hiburan serantau.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi MuviiGrind untuk membina kerjasama yang saling memberi manfaat antara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, dan Filipina dalam masa terdekat," kata kenyataan itu lagi.
Dalam usaha menghasilkan drama vertikal yang mampu memenuhi selera penonton dari pelbagai latar belakang budaya, MuviiGrind turut merancang untuk melibatkan pemenang dari festival filem bertaraf antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra Festival Film (Indonesia), dan Suphannahong National Film Awards (Thailand).
"Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MuviiGrind untuk mencipta karya yang berdaya saing dan relevan di kalangan penonton di Filipina, Indonesia, dan Thailand," katanya.
Ringkasan AI
- MUVIGRIND mencari bakat baru untuk drama vertikal mengangkat kisah ASEAN di Kuala Lumpur
- Kuala Lumpur dipilih bersempena dengan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN ke-47
- Lebih daripada 120 peserta hadir pada sesi uji bakat di Teedo Hotel, Kuala Lumpur
- Panel penghakiman terdiri daripada nama besar industri hiburan Malaysia
- MuviiGrind berhasrat memperkuat kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam industri hiburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
