Trump namakan gergasi teknologi, media dalam rancangan pengambilalihan TikTok AS

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

ISTANBUL -  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad berkata tokoh terkemuka teknologi dan media akan menyertai sebuah konsortium yang bakal mengambil alih operasi TikTok di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Fox News.

Trump berkata, mereka yang terlibat termasuk pengasas Oracle Larry Ellison, Ketua Pegawai Eksekutif Dell Technologies Michael Dell serta eksekutif Fox Corp Rupert dan Lachlan Murdoch.

"Anda tahu, mereka adalah tokoh yang sangat terkenal. Dan Larry Ellison adalah seorang daripada mereka. Beliau terlibat.

"Beliau seorang yang hebat. Michael Dell terlibat. Seorang bernama Lachlan turut terlibat,” kata Trump dalam program Sunday Briefing di Fox News, sambil menambah bahawa Rupert Murdoch "mungkin akan menyertai kumpulan itu.”

Rancangan itu susulan undang-undang pada April 2024 yang menghendaki syarikat induk TikTok dari China, ByteDance, menjual kira-kira 80 peratus asetnya di AS kepada pelabur Amerika atau berdepan larangan di seluruh negara.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt memberitahu Fox News bahawa Oracle akan menyelia data dan privasi AS dengan sebuah lembaga pengarah tujuh anggota, "enam daripadanya adalah rakyat Amerika.”

Trump juga berkata, beliau telah mengadakan "perbualan telefon yang sangat produktif” dengan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat, menandakan kemajuan ke arah memuktamadkan perjanjian itu. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan konsortium yang termasuk tokoh teknologi dan media untuk mengambil alih operasi TikTok di AS
  • Tokoh yang terlibat termasuk pengasas Oracle Larry Ellison, Ketua Pegawai Eksekutif Dell Technologies Michael Dell dan eksekutif Fox Corp Rupert dan Lachlan Murdoch
  • Undang-undang pada April 2024 menghendaki ByteDance menjual 80 peratus aset TikTok di AS kepada pelabur Amerika atau berdepan larangan
  • Oracle akan menyelia data dan privasi AS dengan lembaga pengarah tujuh anggota, enam daripadanya adalah rakyat Amerika
  • Trump telah mengadakan perbualan telefon yang produktif dengan Presiden China Xi Jinping menandakan kemajuan ke arah perjanjian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!