PM tunai janji turunkan harga RON95 hujung bulan ini

PUTRAJAYA - Subsidi bersasar RON95 dijangka dilaksanakan pada hujung bulan ini, selaras dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun pelaksanaan mengambil sedikit masa, janji itu tetap ditunaikan sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Insya-ALLAH, Perdana Menteri tunaikan janji kepada rakyat Malaysia, hujung bulan ini harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar.
"Beliau seorang yang berpegang pada kata-kata. 'A man of his words' dan setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan untuk rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Dalam masa sama, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mengingatkan orang ramai supaya segera memeriksa keadaan cip MyKad bagi memastikan ia berfungsi sebelum pelaksanaan subsidi bersasar bermula.
“Kalau cip rosak atau tak boleh dibaca, jangan risau, boleh terus ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-ALLAH, siap hari yang sama. Mudah dan cepat!
“Jangan tunggu saat akhir. Buat semakan awal supaya rakan-rakan dapat manfaatkan subsidi petrol khas untuk rakyat Malaysia ini,” jelasnya.
Terdahulu, tular sebuah rakaman video yang memaparkan sebuah alat baharu yang bakal digunakan bagi melaksanakan sistem subsidi bersasar petrol RON95 selepas rakaman video mengenainya dimuat naik di Facebook Eric See To-Lim Sian See.
Video berdurasi 1 minit 13 saat itu memaparkan sesi latihan yang diberikan pembekal kepada operator stesen minyak mengenai cara penggunaan mesin berkenaan.
Ogos lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan kerajaan kekal dengan perancangan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 dan perincian lanjutnya dijangka diumumkan menjelang akhir September 2025.
Langkah itu perlu berikutan dasar subsidi pukal yang diamalkan sejak sekian lama hanya membebankan fiskal negara dan tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat.
Ringkasan AI
- Subsidi bersasar RON95 dijangka dilaksanakan pada hujung bulan ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar
- Rakyat disarankan memeriksa keadaan cip MyKad untuk memastikan ia berfungsi sebelum pelaksanaan subsidi bersasar
- Pengguna boleh mendapatkan perbaikan cip MyKad di pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara, siap hari yang sama
- Pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan untuk mengatasi beban fiskal negara akibat dasar subsidi pukal yang lama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

