Covid-19: Penghuni PPR dikecualikan sewa sebulan

Ciapan pengecualian sewa sebulan di Twitter Zuraida hari ini. Gambar kanan: Zuraida
Ciapan pengecualian sewa sebulan di Twitter Zuraida hari ini. Gambar kanan: Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghuni di 9,187 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menikmati pengecualian sewa selama sebulan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu.

"Keputusan ini dibuat untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan Perintah kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin)," katanya menerusi ciapan di Twitter, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Zuraida meminta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap tahap kebersihan dan keselamatan pengguna di pasar raya.

"PBT harus memastikan bahawa semua pasar raya dan kedai runcit mempraktikkan jarak sosial, memakai topeng muka, sanitizer pada laluan keluar masuk.

"Pengurusan juga memastikan pemegang troli dan bakul barangan yang digunakan kerap dibersihkan," katanya.

Tambah Zuraida, KPKT menerusi kerajaan tempatan akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat memantau kebajikan warga emas swasta.

"KPKT akan memastikan pusat jagaan ini mempunyai cukup bahan keperluan untuk memudahkan mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Artikel Berkaitan:

"Insha-ALLAH kami akan sentiasa memberi yang terbaik buat semua rakyat Malaysia. Kita berharap semua rakyat Malaysia terus duduk di rumah diam-diam dan jangan keluar rumah," tulisnya.