Lebih sanggup buang brek belakang, pasang kamera sebab mahu 'view'

SEREMBAN - Lebih mementingkan memasang kamera berbanding cermin sisi selain sanggup bermodalkan ratusan ringgit untuk ubah suai ekzos daripada memasang brek belakang.
Itu antara kesalahan yang dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi Op Motosikal yang dilaksanakan bersama PLUS Berhad di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan di sini bermula kira-kira jam 10 malam pada Sabtu.
Seorang penunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR mengakui kesalahan dilakukannya itu.
"Kamera di 'handle' ini untuk tengok 'view' sahaja....ekzos (paip) ini saya beli dalam RM350, tuan," kata lelaki berusia 20 tahun selepas ditahan semasa dalam perjalanan berkonvoi bersama rakan ke Seremban.

Pemeriksaan polis mendapati motosikal ditunggang lelaki itu bukan sahaja tiada brek belakang, cermin sisi, malah tidak mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan.
Selain itu, tindakan seorang lelaki yang membonceng anak sulungnya berusia 13 tahun menaiki motosikal Yamaha 125ZR dari Sungai Buloh, Selangor untuk ke Seremban semata-mata mahu melihat suasana kumpulan konvoi motosikal hanya menjerat diri.
Ini kerana penunggang terbabit bukan sahaja tiada lesen memandu, malah motosikalnya juga tiada cukai jalan selain pelbagai kesalahan ubah suai termasuk ekzos.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati laluan lebuh raya terbabit ditutup beberapa minit dengan halangan menggunakan lori sebelum penunggang yang ditahan diarah untuk pemeriksaan dan dokumentasi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 513 saman membabitkan pelbagai kesalahan selain turut menyita 19 motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, kebanyakan individu yang diperiksa berusia bawah 25 tahun.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada brek, tiada lampu, tiada nombor pendaftaran dan tiada lesen memandu yang mana ia juga antara punca kemalangan dan penyumbang statistik kematian akibat kemalangan motosikal.
"Alasan mengubahsuai motosikal kerana minat kenderaan dan mahu mengikut trend," katanya kepada pemberita di sini.
Tambahnya, JSPT menerima aduan yang memaklumkan berlaku banyak kemalangan akibat kegiatan lumba haram terutama pada malam minggu dan cuti panjang.
"Kita lihat dari Bangi hingga ke Kilometer 273 menghala selatan adalah laluan kebiasaan mereka berlumba. Ada beberapa kematian direkodkan sebelum ini," katanya.
Ringkasan AI
- Penunggang motosikal sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk ubah suai ekzos dan memasang kamera daripada brek belakang
- Op Motosikal dilaksanakan oleh JSPT Bukit Aman dan PLUS Berhad di R&R Seremban
- Pemeriksaan mendapati motosikal tertentu tiada brek belakang, cermin sisi, dan tidak mempamerkan nombor pendaftaran
- Majoriti yang diperiksa berumur bawah 25 tahun dan melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada brek, lampu, nombor pendaftaran, dan lesen memandu
- JSPT mengeluarkan 513 saman dan menyita 19 motosikal atas pelbagai kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
