Duit, barang kemas lebih RM60,000 lesap terpedaya bomoh buang sial

Selepas upacara ritual palsu itu, mangsa diberi bungkusan plastik hitam dan diarahkan supaya membukanya selepas seminggu. Gambar hiasan.
Selepas upacara ritual palsu itu, mangsa diberi bungkusan plastik hitam dan diarahkan supaya membukanya selepas seminggu. Gambar hiasan.
A
A
A

SIBU - Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM60,000 selepas terpedaya dengan tawaran seorang bomoh yang kononnya mampu membuang sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarganya, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu bermula apabila mangsa berusia dalam lingkungan 70-an didatangi seorang wanita tidak dikenali di kawasan pasar Sibu yang bertanyakan tentang lokasi kedai ubat tradisional Cina.

"Menurut mangsa, berdasarkan loghat percakapan wanita itu, suspek disyaki warga China.

"Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat sama turut bertanyakan lokasi tempat sembahyang untuk membuang sial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa berjalan kaki ke kawasan tempat letak kereta berdekatan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan bersama-sama tiga wanita asing terbabit.

"Mangsa dimaklumkan bahawa dirinya mempunyai sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarga sekiranya tidak dibuang melalui ritual khas. Akibat ketakutan, mangsa akur dengan arahan suspek,” katanya.

Zulkipli berkata, mangsa telah menyerahkan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM60,794 sebagai syarat ritual.

"Selepas upacara ritual palsu itu, mangsa diberi bungkusan plastik hitam dan diarahkan supaya membukanya selepas seminggu.

"Namun, apabila anak mangsa membuka bungkusan berkenaan, ia hanya mengandungi mi segera, satu kilogram garam dan empat botol air mineral. Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkipli berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sibu menerima laporan itu pada hari sama dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara buang sial dengan meminta wang tunai atau barang kemas.

"Jangan mudah terpedaya dengan ugutan atau janji yang menimbulkan rasa takut kerana ia boleh menjadikan anda mangsa penipuan,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Seorang wanita warga emas di Sibu kerugian lebih RM60,000 akibat penipuan bomoh
  • Kejadian penipuan bermula apabila mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali di pasar
  • Mangsa diberitahu mempunyai sial yang perlu dibuang melalui ritual khas
  • Mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas untuk ritual palsu
  • Mangsa menyedari ditipu setelah membuka bungkusan yang hanya mengandungi mi segera dan barang dapur lain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!