Perak Bison sasar final Piala Tun Ali

Pengurus Besar Syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd (Afiat) Abdul Raof Ahmad Zakaria (empat, kanan) bersama barisan pengurusan dan pemain Perak Bison pada Program Tenaga Afiat Semangat Bison Meet and Greet pada Sabtu. - Foto: Bernama
Pengurus Besar Syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd (Afiat) Abdul Raof Ahmad Zakaria (empat, kanan) bersama barisan pengurusan dan pemain Perak Bison pada Program Tenaga Afiat Semangat Bison Meet and Greet pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A

PERAK Bison meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir Piala Tun Ali di Melaka pada November ini sebagai kesinambungan kejayaan pasukan itu meraih gelaran juara Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol berkata, meskipun menyedari cabaran sengit bakal diberikan pasukan handalan lain, sasaran ke final adalah realistik, khususnya bagi acara regu dan kuadran.

“Kalau ikut ranking, kita mungkin nombor dua di Malaysia, jadi ada asas kepada sasaran untuk mara ke final,” katanya ketika ditemui pada Program Tenaga Afiat Semangat Bison Meet and Greet di Kuala Kangsar pada Sabtu.

Mengulas pencapaian musim ini, beliau berkata Perak Bison pada awalnya hanya menyasarkan kedudukan empat terbaik STL bagi membolehkan pasukan layak ke Piala Juara-Juara.

Beliau berkata bagaimanapun, momentum luar biasa yang dipamerkan pemain pada pusingan kelima STL telah melonjakkan mereka sebagai juara keseluruhan.

“Kita kejar kejuaraan itu sampai ke penghujung dan akhirnya muncul juara STL. Kita layak ke Piala Juara-Juara dan berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga,” katanya.

Piala Tun Ali merupakan kejohanan tahunan berprestij sukan sepak takraw yang menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik negara dan akan berlangsung di Melaka dari 3 hingga 9 November depan.

Mohd Jaffrey turut mendedahkan hasrat pasukan itu untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dengan menghantar pemain menyertai kelab luar negara, khususnya di Thailand.

“Setakat ini, belum ada play-off yang membuka laluan terus ke kejohanan antarabangsa, jadi kita perlu jalinkan kerjasama dengan kelab luar.

Artikel Berkaitan:

“Kita sudah ada hubungan rapat dengan Kelab Polis Thailand. Harapan saya, musim depan kita dapat hantar pemain ke sana untuk mendapatkan pendedahan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd (Afiat) Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata program hari ini bertujuan bagi memperkenalkan barisan pemain Perak Bison kepada para penyokong.

Beliau berkata Afiat merupakan penaja rasmi fisioterapi pasukan itu sejak Jun lepas hingga November ini. - Bernama

Ringkasan AI

  • PERAK Bison meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir Piala Tun Ali
  • Mementingkan acara regu dan kuadran
  • Mencatat kedudukan empat terbaik STL untuk layak ke Piala Juara-Juara, akhirnya juara STL
  • Piala Tun Ali menghimpunkan pasukan terbaik di Melaka dari 3 hingga 9 November
  • Pasukan berhasrat menghantar pemain ke kelab luar negara untuk pendedahan antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!