Sewa rumah sorok rokok seludup

Salah sebuah kediaman yang diserbu PGA dengan rampasan rokok tidak bercukai.
Salah sebuah kediaman yang diserbu PGA dengan rampasan rokok tidak bercukai.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan pengedaran rokok seludup dengan menjadikan dua rumah teres di Taman Seri Serdang, Klang dan Jalan Setia Impian di sini sebagai stor simpanan dibongkar pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Jafri Muhamad berkata, operasi bermula jam 12 tengah hari dijalankan pihaknya dengan kerjasama masing-masing daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara serta IPD Shah Alam.

Menurutnya, kedua-dua serbuan berjaya menahan dua lelaki Indonesia selain rampasan dua kenderaan, 700 karton rokok tidak bercukai dan dua telefon bimbit.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 532,896.40.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Klang Utara dan IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan rokok tidak bercukai itu untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, polis percaya kegiatan ini menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai penjaga stor dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan penyewa asal kediaman terbabit.

Tegasnya, masyarakat diseru untuk memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kegiatan pengedaran rokok seludup di Taman Seri Serdang dan Jalan Setia Impian dibongkar
  • Dua lelaki Indonesia ditahan bersama dengan 700 karton rokok tidak bercukai
  • Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM 532,896.40
  • Penangkapan dilakukan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63
  • Polis percaya kegiatan ini menggajikan pendatang asing tanpa izin sebagai penjaga stor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!