Pondok kecil jadi 'port' rahsia hubungan terlarang terbongkar

KULIM - Perbuatan maksiat sepasang kekasih yang menjadikan sebuah pondok kecil di belakang rumah di sebuah Felda, di sini sebagai lokasi ‘pertemuan’ terbongkar selepas dihidu penguat kuasa agama yang melakukan serbuan pada kira-kira jam 1.20 pagi, Rabu.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, tangkapan khalwat itu membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama pasangannya, seorang ibu tunggal anak dua berusia 45 tahun.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, wanita berkenaan hanya berselimut tanpa pakaian manakala pasangannya hanya memakai seluar panjang.
“Ketika disoal, ibu kepada anak perempuan berusia 21 tahun dan anak lelaki berusia 12 tahun itu mengaku saling mengenali selepas bercerai dengan bekas suami setahun lalu.
“Dia dikatakan menjual kuih di Sungai Petani dan pulang ke Felda itu untuk bertemu anak serta keluarga, namun ibu bapanya tidak mengetahui bahawa dia bermalam di pondok kecil di belakang rumah lelaki tersebut,” katanya.
Menurut Anwar, pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan berstatus bujang, bekerja di ladang kelapa sawit dan tinggal di rumah kakaknya di Felda tersebut.
Anwar berkata, tangkapan dibuat di sebuah pondok kecil bersaiz lebih kurang 1.5 x 3 meter selepas pintu diketuk kira-kira lapan minit sebelum dibuka oleh lelaki terbabit.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita itu didapati berbaring di atas katil dalam keadaan berselimut sementara lelaki itu tidak berbaju.
“Mereka juga memaklumkan bahawa keluarga tidak bersetuju dengan hubungan tersebut dan anak-anak wanita itu berharap ibu mereka berkahwin semula dengan bekas suami, menyebabkan mereka berjumpa secara rahsia di pondok berkenaan,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

