'Gaji umi RM600 sebulan, yuran pengajian pula hampir RM1,000'

BACHOK - "Gaji umi RM600 sebulan sedangkan yuran pengajian hampir RM1,000, saya tidak mampu."
Demikian perkongsian Zikrulaikha Alya Abdul Rahim, 20, yang hampir menolak tawaran menyambung pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disebabkan kekangan kewangan.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan atlet berbasikal di bawah Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSN) dan akan mewakili pasukan Kelantan untuk acara berbasikal di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung di Selangor tahun hadapan.
Menurut Zikrulaikha Alya, memikirkan ibunya Ramlah Che Ahmad, 58, seorang ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai tukang cuci serta masih perlu menyara seorang lagi abang di universiti, dia merasakan mustahil untuk menyediakan wang sebanyak itu.

“Alhamdulillah berkat doa umi, saya berjaya juga melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), UMK Bachok untuk sesi 2025/2026 yang bermula pada Ahad ini.
"Terima kasih UMK kerana mempermudahkan urusan saya dan keluarga, sehingga sekarang rasa macam tidak percaya impian ini akan menjadi kenyataan," katanya semasa menerima surat tawaran untuk mengikuti pengajian itu yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UMK, Prof Dr Arham Abdullah di kediamannya di Kampung Kandis di sini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Hirman Awang yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah KPT.
Zikrulaikha Alya menerima sumbangan Bantuan Awal Pendidikan berbentuk wang tunai RM1,000.
Menurut Arham, UMK melalui Bahagian Kebajikan dan Tatatertib Pelajar (BKTP), Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuk bantuan awal yuran pengajian untuk semester pertama, bantuan komputer riba, sumbangan kit makanan dan lain-lain bantuan melalui program Cakna UMK.

Beliau memaklumkan, program UMK Cakna memfokuskan kepada pelajara baharu yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di UMK menerusi UPU Online.
“Pada hari ini, UMK datang ke rumah keluarga Zikrulaikha Alya untuk menyerahkan surat tawaran bersertakan surat pengecualian bayaran yuran semester pertama.
“Selain itu, KPT juga ada menyediakan Program Pembangunan Siswa SULUNG dan bantuan awal pengajian melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi pelajar yang memerlukan,” katanya.
Ringkasan AI
- Zikrulaikha Alya Abdul Rahim hampir menolak tawaran belajar di UMK kerana gaji ibunya RM600 sebulan sementara yuran pengajian hampir RM1,000
- Zikrulaikha adalah atlet berbasikal dan akan mewakili Kelantan di SUKMA 2026
- Ibunya, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci, tidak mampu menyediakan wang untuk yuran pengajian
- Zikrulaikha berjaya melanjutkan pengajian di UMK dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan bantuan kewangan
- UMK menawarkan pelbagai bantuan kewangan termasuk bantuan awal yuran pengajian, bantuan komputer riba, dan sumbangan kit makanan melalui program Cakna UMK
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

