Peraturan tiga meter masih berkuat kuasa, hormati hak pengunjung restoran lain - Menteri

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati hak pengunjung restoran lain untuk menikmati makanan tanpa asap rokok khususnya kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas dengan memastikan aktiviti merokok dilakukan sekurang-kurangnya tiga meter dari meja terakhir premis.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana peraturan tiga meter masih berkuat kuasa dan hak perokok juga tidak dinafikan sekiranya mereka tidak merokok di kawasan larangan khususnya di premis makan awam.
"Insiden merokok di Shah Alam yang dimuat naik dalam ciapan @SyedAkramin amat membimbangkan. Ia satu kesalahan jelas di bawah Akta 852, Seksyen 16(2) yang menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau dalam Akta Makanan (PPKHT) (Akta 281).
"Benar seperti ramai katakan (termasuk @malaysianmedic1), undang-undang hanya sekuat pelaksanaannya. Namun, adalah mustahil untuk pegawai penguat kuasa untuk sentiasa berada di setiap premis makan pada setiap masa," katanya menerusi hantaran di platform X pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas ciapan @SyedAkramin yang mendakwa seorang wanita hamil lapan bulan menegur seorang lelaki merokok di restoran sebelum berlaku satu pertengkaran.
Dakwanya, kejadian tersebut menunjukkan masih ada segelintir rakyat di negara ini yang tidak peduli dengan larangan merokok di restorankerana denda dan kompaun sedia ada sudah lapuk.
Dr Dzulkefly berkata, sepanjang 12 bulan yang lalu, Seksyen Inspektorat dan Penguatkuasaan Kawalan Kesihatan (SIPKKM) telah melaksanakan langkah penguatkuasaan sebaik mungkin bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan.
Ujarnnya, sebanyak 19,175 operasi telah dijalankan di seluruh negara dengan purata lebih 50 operasi setiap hari.
Dalam tempoh yang sama katanya, sebanyak 101,521 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun keseluruhan mencecah RM11.45 juta.
"Ini bukti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat serius. Namun undang-undang dan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama.
"Pemilik dan pekerja premis makanan perlu memainkan peranan penting dalam menegur pelanggan yang merokok di kawasan larangan. Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti setempat turut mempunyai tanggungjawab dalam memastikan peraturan ini dipatuhi," katanya.
Sehubungan itu beliau menggalakkan orang awam supaya terus menyalurkan aduan melalui kempen #JomLapor, aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949 atau terus menghubungi talian hotline KKM di 03-8892 4530.
Ringkasan AI
- Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati hak pengunjung restoran lain dengan merokok sekurang-kurangnya tiga meter dari meja terakhir premis
- Menteri Kesihatan menyatakan peraturan tiga meter untuk merokok di luar premis masih berkuat kuasa
- Merokok di restoran merupakan kesalahan di bawah Akta 852, Seksyen 16(2)
- Sejumlah 19,175 operasi penguatkuasaan telah dijalankan dengan 101,521 notis kesalahan dikeluarkan
- Orang awam digalakkan untuk menyalurkan aduan melalui kempen #JomLapor atau menghubungi talian hotline KKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

