Definisi buli masih dalam kajian – Azalina

SHAH ALAM - Kerajaan masih meneliti pelbagai pandangan sebelum memutuskan definisi sebenar berkaitan akta baharu anti-buli yang sedang digubal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehingga kini kebanyakan maklum balas yang diterima melalui portal Generasi Tanpa Buli dilancarkan 11 September lalu menunjukkan rakyat mahukan kategori lebih meluas, bukan sahaja melibatkan golongan bawah 18 tahun.
Menurutnya, pihaknya turut menerima cadangan supaya akta baharu itu mempunyai definisi jelas mengenai buli selain mewujudkan tribunal yang dapat menyelesaikan kes dengan lebih cepat.
“Setakat ini kita masih mengkaji semua pandangan. Banyak guru hadir dalam sesi kali ini dan mereka memberi pandangan daripada perspektif sekolah.
"Ada juga komen bahawa kalau adanya akta, mesti ada definisi. Ramai juga mahu tribunal diwujudkan dan prosesnya perlu cepat diselesaikan.
"Jadi kita akan teliti semula semua cadangan ini,” ujarnya ketika sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Anti Buli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Azalina berkata, selepas sesi di Selangor, beliau akan ke Johor esok sebelum ke wilayah utara minggu depan sebagai sebahagian daripada siri roadshow bagi mendapatkan pandangan masyarakat.
“Kalau tak sempat nak habiskan sebelum 30 September, kita akan gabungkan empat zon.
"Insya-ALLAH bulan Oktober saya akan ke universiti dan akademi termasuk tentera atau polis untuk mendapatkan pandangan mereka kerana institusi ini juga ada tata tertib dalaman masing-masing,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan definisi buli merupakan cabaran yang memerlukan penelitian kerana ia mempunyai tafsiran berbeza bergantung kepada pihak berkepentingan.
“Kita sebagai kerajaan tidak mahu beri definisi mengikut persepsi antarabangsa semata-mata kerana Malaysia adalah negara pelbagai bangsa dan agama.
"PIBG mungkin ada pandangan lain, sekolah lain, kementerian lain dan NGO lain juga ada pandangan berbeza.
“Ada negara yang sudah menetapkan kategori tertentu, malah beberapa perbuatan dalam undang-undang kita sekarang boleh dianggap sebagai perlakuan buli termasuk gangguan seksual dan perbuatan mengaibkan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau turut menggalakkan rakyat supaya terus memberi pandangan melalui portal Generasi Tanpa Buli yang dilancarkan baru baru ini di Putrajaya.
Tambahnya, pandangan orang ramai penting bagi memastikan akta anti-buli yang bakal dibentangkan pada Disember ini lebih efektif dan menyeluruh.
Ringkasan AI
- Kerajaan sedang meneliti pelbagai pandangan sebelum memutuskan definisi akta anti-buli yang sedang digubal
- Rakyat mahukan kategori lebih meluas dalam definisi buli, bukan hanya untuk bawah 18 tahun
- Cadangan untuk akta baharu termasuk memiliki definisi jelas tentang buli dan mewujudkan tribunal
- Azalina Othman Said akan mendapatkan pandangan masyarakat melalui siri roadshow ke pelbagai negeri
- Definisi buli memerlukan penelitian kerana ia berbeza bergantung kepada pihak berkepentingan dan Malaysia adalah negara pelbagai bangsa dan agama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

