Warga emas didakwa bunuh wanita dilapor hilang sejak lebih 20 tahun lalu

Polis telah mendakwa seorang lelaki dari Port Lincoln atas tuduhan membunuh Susan Goodwin (gambar) yang dilaporkan hilang pada tahun 2002. – Foto: Polis South Australia
Polis telah mendakwa seorang lelaki dari Port Lincoln atas tuduhan membunuh Susan Goodwin (gambar) yang dilaporkan hilang pada tahun 2002. – Foto: Polis South Australia
A
A
A

 

SYDNEY – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Lincoln, Australia semalam selepas didakwa membunuh Susan Goodwin, wanita yang dilaporkan hilang sejak lebih dua dekad lalu.

Polis South Australia mengesahkan mayat dipercayai milik Goodwin ditemui tertanam di halaman belakang sebuah rumah di Port Lincoln, kira-kira 650 kilometer dari Adelaide.

Sebelum itu, pasukan penyiasat menangguhkan pencarian selepas menemui rangka tulang manusia ketika kerja penggalian awal di sebuah kediaman.

Bagi mengesahkan identiti, seorang pakar antropologi dari Forensic Science SA bersama anggota Unit Forensik dan Bahagian Jenayah Berat dihantar ke lokasi berkenaan untuk meneruskan kerja penggalian.

Polis turut menggunakan peralatan radar khas bagi mengimbas kawasan rumah di Pamir Court, yang bersebelahan Moonta Crescent, lokasi kediaman Goodwin sebelum ini.

Goodwin, ketika itu berusia 39 tahun, kali terakhir dilihat pada waktu tengah hari 19 Julai 2002 selepas keluar membeli-belah di pasar raya Coles dan Woolworths di Port Lincoln.

Menurut polis, Goodwin dipercayai dibunuh oleh individu yang sangat rapat dengannya dan mereka yakin suspek berkenaan masih tinggal di bandar itu.

“Ini adalah tragedi apabila keluarga Susan terpaksa menunggu 23 tahun tanpa jawapan,” kata Detektif Inspektor Andrew Macrae.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap polis menegaskan, penemuan berkenaan amat signifikan selepas lebih 20 tahun kehilangan Goodwin dan pihaknya berharap ia memberi sedikit kelegaan kepada keluarganya.

Pada 2017, polis mendedahkan rayuan awam yang dibuat ketika itu berjaya membersihkan tujuh individu daripada senarai ‘persons of interest’ selepas disiasat.

Pihak berkuasa turut menawarkan ganjaran sehingga AUD200,000 (RM629,000) bagi mana-mana maklumat yang membawa kepada sabitan pembunuh Goodwin atau penemuan lengkap mayatnya.

Suspek yang ditahan pada Selasa lalu tidak dinamakan atas faktor undang-undang. Beliau kini direman sementara menunggu perbicaraan penuh.

Siasatan kes itu masih diteruskan dengan usaha mengumpul bukti tambahan.-The Guardian

 

 

Ringkasan AI

  • Warga emas dihadapkan ke mahkamah di Australia atas tuduhan membunuh Susan Goodwin yang hilang sejak dua dekad lalu
  • Mayat dipercayai Susan Goodwin ditemui di halaman belakang rumah di Port Lincoln
  • Pasukan penyiasat menemui rangka manusia dan pakar antropologi dihantar untuk identifikasi
  • Polis menggunakan radar khas untuk mengimbas kawasan kediaman bersebelahan rumah Goodwin
  • Penemuan mayat memberi harapan kepada keluarga Susan Goodwin setelah 23 tahun menanti jawapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!