Zara Qairina menangis, bersumpah ‘wallahi’ nafi mencuri - Saksi

KOTA KINABALU – Saksi kelapan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar tersebut dilihat menangis serta menafikan tuduhan mencuri sebelum menuju ke tandas buat kali terakhir.
Saksi berkenaan, Azhari Abd Sagap, 31, yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, berkata, beliau menerima salinan pengakuan bertulis daripada lima pelajar berhubung insiden tersebut.
Menurut Azhari, dokumen itu ditulis selepas beliau mengarahkan warden lain menjalankan siasatan dalaman pada 16 Julai lalu, sebaik Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Pada malam sebelum kejadian, seorang pelajar tingkatan satu membuat aduan kepada ketua dorm bahawa barang miliknya hilang.
“Zara kemudian dipanggil dan ditanya mengenai perkara itu. Dia menafikan tuduhan serta bersumpah dengan lafaz ‘wallahi’,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Azhari menambah, sebelum itu pelajar-pelajar lain turut menyelongkar beg serta lokar milik Zara Qairina dan mendakwa menemui pin Jalur Gemilang kepunyaan ketua dorm.
Namun, jelasnya, Zara sekali lagi menegaskan dia tidak mengambil barang tersebut.
“Zara dikatakan meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit: ‘Aku tidak mencuri bah, bodoh’. Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh seorang pelajar tingkatan satu.
“Kali terakhir dia dilihat ialah ketika keluar dari bilik berkenaan menuju ke tandas dalam keadaan menangis,” katanya.
Ringkasan AI
- Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina melihatnya menangis sambil menafikan tuduhan mencuri sebelum ke tandas buat kali terakhir
- Azhari Abd Sagap, Ketua Warden SMKA Tun Datu Mustapha, menerima pengakuan bertulis lima pelajar tentang insiden itu
- Siasatan dalaman dijalankan selepas Zara dibawa ke Hospital Queen Elizabeth
- Pelajar lain menuduh Zara mencuri selepas menyelongkar beg dan lokar miliknya
- Zara dilihat meninggalkan bilik sambil menangis dan menjerit menafikan mencuri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
