Guna teknologi dengan waspada, rujuk sumber sahih elak halusinasi AI - Dr Wan Azizah

Dr Wan Azizah (tengah) beramah mesra bersama Persatuan Pandu Puteri Malaysia selepas Majlis Jade Camp Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2025 di PICC pada Rabu. Foto Bernama
Dr Wan Azizah (tengah) beramah mesra bersama Persatuan Pandu Puteri Malaysia selepas Majlis Jade Camp Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2025 di PICC pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Generasi muda diingatkan berwaspada terhadap kesan buruk teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) jika ia tidak digunakan dengan penuh tanggungjawab, kata isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) berkata, antara cabaran baharu yang perlu diberi perhatian ialah teknologi 'deepfake' yang mampu mencetuskan fitnah sekiranya disalahgunakan.

"Pesanan saya jadilah pengguna teknologi yang bijak, beretika, dan bertanggungjawab," katanya kepada media selepas majlis perasmian Jade Camp Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran PPPM di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud.

Dr Wan Azizah berkata, AI boleh ditanya mengenai pelbagai perkara termasuk agama, namun pengesahan perlu diperoleh daripada sumber berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan akibat fenomena halusinasi AI.

"Peganglah kepada yang hak, jauhi yang batil. AI ini hanyalah alat untuk membantu perkembangan dan kemajuan hidup kita tetapi ia mesti digunakan dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, generasi muda, khususnya ahli Pandu Puteri perlu bijak memanfaatkan teknologi digital dan AI dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata, kemajuan internet, media sosial dan AI seharusnya menjadi alat pembelajaran, inovasi serta pembangunan diri, namun perlu dikawal supaya tidak mendatangkan mudarat.

"Pelajarilah bagaimana AI boleh membantu anda dalam pembelajaran, memudahkan tugasan dan membuka minda kepada inovasi tetapi pastikan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan generasi muda agar sentiasa berjaga-jaga terhadap penipuan siber, khususnya melibatkan 'scammer' dan risiko 'dark web' yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

"Gunakanlah media sosial secara positif. Kongsikan gambar dan video aktiviti anda dengan kapsyen yang membina, memberi inspirasi kepada rakan-rakan, dan menyebarkan semangat positif kepada orang lain. Namun, sentiasa ingat untuk menjaga adab dan berwaspada terhadap ancaman keselamatan siber.

"Jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan, jangan kongsikan maklumat palsu atau berita yang tidak benar," katanya.

Mengenai Jade Camp, Dr Wan Azizah berkata, semangat Pandu Puteri yang mementingkan khidmat kepada masyarakat dan negara amat bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini 'Malaysia Madani: Rakyat Disantuni'.

Beliau berkata, dalam perkhemahan itu peserta yang datang daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang akan tinggal dan belajar bersama serta bekerjasama sebagai satu pasukan yang mencerminkan potret Malaysia sebenar, iaitu sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian tetapi hidup dalam harmoni.

"Harap anak-anak dapat menghargai nilai ini iaitu perpaduan. Inilah kekuatan kita, sesuatu yang tidak dapat dijual beli," katanya.

Jade Camp yang berlangsung tiga hari bermula Rabu disertai 1,000 Pandu Puteri remaja dan pemimpin dari 18 cawangan seluruh negara.

Program berskala kebangsaan itu membuka peluang penyertaan menyeluruh, merentas cabaran geografi serta menghubungkan ahli dengan pelbagai program antarabangsa di bawah Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Perkhemahan besar itu menjadi platform penting membentuk kepemimpinan, semangat kesukarelawanan dan keterampilan diri remaja wanita sekolah menengah rendah berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Dengan sejarah lebih 109 tahun, PPPM berperanan sebagai wadah pemerkasaan beliawanis, melahirkan generasi wanita berdaya tahan, berakhlak mulia, berdisiplin dan mampu memimpin di pelbagai peringkat. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Generasi muda diingatkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk berwaspada terhadap kesan buruk teknologi digital dan AI
  • Teknologi 'deepfake' boleh mencetuskan fitnah jika disalahgunakan
  • AI boleh membantu perkembangan dan kemajuan hidup tetapi harus digunakan dengan tanggungjawab
  • Kemajuan internet, media sosial, dan AI sepatutnya menjadi alat pembelajaran dan inovasi
  • Peserta Jade Camp belajar tinggal dan bekerjasama, mencerminkan perpaduan dan kepelbagaian Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!