Mangsa banjir di Sabah menurun, Sarawak kekal petang ini

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di SABAH berkurangan kepada 2,256 orang daripada 710 keluarga petang ini, berbanding 2,602 daripada 806 keluarga pagi tadi.- Gambar hiasan
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di SABAH berkurangan kepada 2,256 orang daripada 710 keluarga petang ini, berbanding 2,602 daripada 806 keluarga pagi tadi.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SABAH berkurangan kepada 2,256 orang daripada 710 keluarga petang ini, berbanding 2,602 daripada 806 keluarga pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di 16 PPS melibatkan lima daerah iaitu Beaufort, Penampang, Membakut, Papar dan Sipitang.

"Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Beaufort, Penampang, Papar dan Sipitang menunjukkan trend penurunan manakala jumlah mangsa di Membakut masih kekal.

"Selain itu, PPS di daerah Putatan ditutup petang ini. Sehingga kini 120 kampung terjejas akibat bencana banjir yang melanda sejak 9 September,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan, jumlah mangsa kekal 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi, setakat 3 petang tadi.

Dalam pada itu, berdasarkan laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras sungai di stesen Long Teru, Miri masih pada 9.13 meter (m) iaitu melepasi paras bahaya 8m.

Paras sungai di stesen Marudi juga kekal dengan bacaan 4.38m melepasi paras bahaya 3.25m manakala Lubok Piasau II, Limbang kekal pada 2.24m, melebihi paras bahaya 2.2m. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah berkurangan kepada 2,256 orang dari 710 keluarga
  • Mangsa banjir ditempatkan di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di Sabah
  • Jumlah mangsa banjir menunjukkan trend penurunan kecuali di Membakut
  • PPS di daerah Putatan ditutup, 120 kampung terjejas sejak 9 September
  • Di Sarawak, 13 orang dari tiga keluarga masih berada di PPS, dengan paras sungai melebihi paras bahaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!