Pelantikan baharu pasukan pengurusan CAAM dilaksana berperingkat

PUTRAJAYA – Pelantikan baharu pasukan pengurusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan individu yang dipilih mempunyai kelayakan sesuai dengan keperluan sektor penerbangan negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak tergesa-gesa membuat pelantikan kerana mahu mencari calon paling layak dan berwibawa bagi mengisi jawatan tersebut.
“Kita sedang berbincang dengan pihak kerajaan untuk mencari orang yang sesuai dengan kelayakan yang diperlukan bagi menyertai CAAM.
"Proses ini akan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran identiti korporat baharu CAAM di sini, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua kakitangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang disahkan perkhidmatan sebelum ini telah ditawarkan untuk menyertai struktur baharu CAAM.
“Seperti yang dijanjikan sebelum ini, mereka yang berkhidmat di Mavcom diambil sepenuhnya dalam CAAM kecuali beberapa individu yang menolak tawaran kerana faktor umur atau pakej yang ditawarkan,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang lagi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketiga untuk mengetuai unit pengawalseliaan ekonomi akan dilantik.
Setakat ini, CAAM yang diketuai Datuk Kapten Norazman Mahmud sebagai CEO mempunyai dua Timbalan iaitu Zainul Abidin Maslan (Operasi) dan Kapten Md Jani Md Dom (kawal selia).
Dalam pada itu, Anthony berkata, laporan penuh berhubung insiden gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) telah diterima dan tindakan susulan akan diambil bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Mereka telah hantar laporan mengenai punca gangguan tersebut dan kita minta reka bentuk semula punca bekalan elektrik supaya masalah blackout tidak berulang,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan memaklumkan insiden gangguan elektrik di KLIA T2 Ogos lalu berpunca daripada insiden 'flashover' (lintar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran).
Ringkasan AI
- Pelantikan baharu pasukan pengurusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia akan dilakukan secara berperingkat
- Menteri Pengangkutan mencari calon layak dan berwibawa untuk mengisi jawatan di CAAM
- Kakitangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang disahkan perkhidmatan telah ditawarkan menyertai struktur baharu CAAM
- Terdapat pelantikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ketiga untuk mengetuai unit pengawalseliaan ekonomi
- Laporan insiden gangguan bekalan elektrik di KLIA T2 diterima dan tindakan susulan akan diambil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

