Ayam potong cecah RM10, telur sepapan lebih RM14

Mohd Hisham menunjukkan ayam yang dijualnya di Pasar Awam Sekinchan.
Mohd Hisham menunjukkan ayam yang dijualnya di Pasar Awam Sekinchan.
A
A
A

SHAH ALAM – Musim cuti sekolah kali ini menyaksikan kenaikan harga ayam segar dan telur yang berlaku secara berperingkat sejak awal September.

Di Pasar Awam Sekinchan, peniaga ayam, Mohd Hisham Abd Manan, 42, berkata, kenaikan mula berlaku sejak 31 Ogos lalu dan berlanjutan sehingga kini.

“Sepanjang cuti sekolah memang ada peningkatan harga. Ayam hidup yang sebelum ini dijual sekitar RM5.50 hingga RM5.60 sekilogram kini mencecah RM6.90.

“Untuk ayam siap dipotong pula, harganya naik kepada RM10 sekilogram berbanding RM9 sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Mustaqim menunjukkan telur gred A yang turut mengalami kenaikan harga.
Siti Mustaqim menunjukkan telur gred A yang turut mengalami kenaikan harga.

Menurutnya, kenaikan berlaku secara berperingkat dengan tambahan sekitar 30 hingga 50 sen, menyebabkan keseluruhan harga ayam meningkat lebih RM1.40 sepanjang bulan ini.

Selain ayam, telur ayam juga tidak terkecuali menerima kesan.

Peniaga kedai runcit di Sabak Bernam, Siti Mustaqim Mohd Hashim, 35, berkata, telur gred A yang sebelum ini sekitar RM12.90 sepapan, kini dijual pada harga antara RM14 hingga RM14.40.

Artikel Berkaitan:

“Kenaikan harga telur bukanlah disebabkan cuti sekolah semata-mata, sebaliknya ada faktor berantai seperti bantuan kerajaan atau kenaikan minyak. Bila satu barang naik, barangan lain juga akan ikut naik,” jelasnya.

Menurutnya, meskipun mahal, pelanggan tetap membeli kerana telur merupakan bahan asas harian terutama bagi peniaga makanan.

Bagaimanapun katanya, kenaikan itu turut memaksa peniaga menaikkan harga jualan masing-masing.

Seorang pelanggan membeli telur di sebuah pasar raya di Kuantan.
Seorang pelanggan membeli telur di sebuah pasar raya di Kuantan.

Sementara itu di PAHANG, tinjauan Sinar Harian di Kuantan mendapati harga telur pelbagai gred juga meningkat sejak tiga hari lalu.

Harga gred A dijual pada RM14.20 sepapan, gred B RM13.60, gred C RM13 dan gred D RM12.10.

Perbandingan menunjukkan peningkatan ketara berbanding minggu sebelumnya apabila gred B hanya sekitar RM12.50 dan gred C RM12.

Bagaimanapun, beberapa pasar raya masih menawarkan harga rahmah bagi gred tertentu pada paras RM9.50 hingga RM9.90 sepapan, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Peniaga di Bandaraya Kuantan, Yogga Raj, 28, berkata, harga baharu biasanya dimaklumkan pembekal setiap Isnin.

“Setiap kali ada kenaikan, pertambahan sekitar 50 sen hingga RM1. Untuk minggu ini, gred A mencecah RM14.20 sepapan. Kami hanya ikut harga pembekal,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Xaviar, 60, pula memaklumkan, harga boleh berubah antara satu hingga dua kali seminggu bergantung kepada pengumuman pemborong.

“Kami tidak boleh sewenang-wenangnya naikkan harga, sebaliknya ikut kadar yang ditetapkan pasaran. Jika ada perubahan, kami tetap akan mempamerkan harga untuk makluman pelanggan,” ujarnya.

Bagaimanapun di PERAK, harga telur dan ayam segar di sekitar Ipoh masih stabil tanpa kenaikan ketara di pasar besar, pasar awam dan kedai runcit.

Ayam segar dijual pada harga sekitar RM8.80 sekilogram, manakala telur gred C berada antara RM11.30 hingga RM12 sepapan.

Seorang peniaga ayam, Mohd Zaki Mohd Zubir, 45, berkata, bekalan ayam diperoleh daripada pemborong masih lancar, membolehkan harga dikekalkan pada paras semasa.

“Setakat ini harga ayam tidak berubah. Bekalan stabil, jadi kami tiada masalah untuk kekalkan harga,” katanya.

Menurut seorang peniaga kedai runcit, K Santhia, 50, harga telur juga tidak banyak berubah sepanjang bulan ini.

“Permintaan tetap tinggi, tetapi bekalan masih mencukupi,” ujarnya.

Sementara itu, suri rumah, Noraini Abdul Hamid, 39, berkata, kestabilan harga barangan asas itu melegakan pengguna.

“Kami harap harga ayam dan telur kekal stabil kerana kedua-duanya makanan asas keluarga,” katanya.

Ringkasan AI

  • Musim cuti sekolah menyebabkan kenaikan harga ayam segar dan telur di Malaysia sejak awal September
  • Ayam hidup yang sebelum ini dijual RM5.50 hingga RM5.60 sekilogram, kini naik menjadi RM6.90
  • Harga ayam siap dipotong naik dari RM9 ke RM10 sekilogram
  • Telur gred A yang sebelumnya dijual RM12.90 sepapan kini berada antara RM14 hingga RM14.40
  • Di Perak, harga ayam segar dan telur di sekitar Ipoh masih stabil tanpa kenaikan ketara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!