Retak di jambatan Jalan Mardi: Kerja baik pulih mula Oktober ini - Exco

KLUANG - Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor akan menjalankan kerja-kerja membaiki struktur Jambatan J98 yang retak di Jalan Mardi di sini bermula bulan depan dan dijangka siap pada 30 November ini.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, sebut harga bagi kerja-kerja naik taraf persimpangan dan pembaikan jambatan itu telah pun dibuka pada 2 September lalu.
"Setakat ini, pihak JKR telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama bahagian geoteknik bagi menjalankan semakan terperinci terhadap bahagian substruktur.
"Cadangan kerja-kerja meliputi bahagian struktur atas iaitu parapet, sambungan deckslab, abutment serta penyediaan weephole bagi memastikan sistem pengaliran air yang lebih baik.
"Setakat ini, tiada risiko kritikal yang dikesan, namun sekiranya terdapat keperluan pembaikan tambahan akan dipohon bawah peruntukan konsesi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini foto-foto mengenai keretakan di jambatan tersebut tular di media sosial hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Sementara itu Mohd Fazli berkata, hasil siasatan yang dijalankan sememangnya terdapat isu keretakan pada struktur jambatan berkenaan dan ia telah mula dikesan sejak November 2023 lalu.
Katanya, laporan awal menunjukkan wujudnya settlement pada sambungan deckslab dengan abutment, sekali gus menyebabkan berlakunya rekahan.
"Bagaimanapun, hasil pemantauan pihak konsesi dari 2023 hingga 2025 telah merekodkan bahawa rekahan itu berada pada kadar yang sama dan tidak menunjukkan sebarang pertambahan saiz.
"Ini bermakna tiada perubahan yang membimbangkan terhadap tahap keretakan tersebut setakat ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
