Pemandu jengkaut dikhuatiri tertimbus runtuhan batu kuari

RAUB - Seorang pemandu jengkaut dikhuatiri tertimbus selepas jentera berat kendaliannya dihempap runtuhan batu di sebuah kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, tiga pekerja kuari warga asing terselamat.
Menurutnya, usaha mencari mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, beralamat dari Tanah Merah, Kelantan sedang dijalankan.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang mengendalikan jengkaut sebelum bongkahan batu jatuh secara tiba-tiba lalu menghempap jentera itu.
“Beberapa pekerja yang menyaksikan kejadian mendakwa mangsa sempat melarikan diri dengan melompat sebelum tertimbus runtuhan batu,” katanya.
Mohd Shahril berkata, keluasan kawasan yang tertimbus dianggarkan 300 meter persegi manakala kedalamannya belum dapat dipastikan.

“Kejadian dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pada jam 1.30 tengah hari.
“Pasukan bomba cuba membuat penggalian di kawasan runtuhan tempat mangsa dipercayai tertimbus namun gagal menemuinya,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan kira-kira jam 7.30 petang Sabtu dan disambung semula pada Ahad dengan bantuan unit anjing pengesan.
“Pekerja warga asing yang terselamat dan mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu jengkaut dikhuatiri tertimbus selepas dihempap runtuhan batu di kuari Ulu Gali, Sungai Ruan
- Tiga pekerja kuari warga asing terselamat dalam kejadian itu
- Usaha mencari mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman sedang dijalankan
- Keluasan kawasan yang tertimbus dianggarkan 300 meter persegi
- Operasi SAR ditangguhkan dan disambung semula dengan bantuan unit anjing pengesan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

