Wanita racun suami, dakwa dibaham harimau demi pampasan

KARNATAKA - Seorang wanita ditahan polis selepas membunuh suaminya dan cuba menipu pihak berkuasa dengan mendakwa suaminya mati dibaham harimau.
Wanita dari daerah Mysuru itu didakwa melakukan perbuatan tersebut untuk mendapatkan pampasan yang lumayan daripada kerajaan.
Suspek yang ditahan dikenali sebagai Sallapuri, manakala mangsa yang meninggal dunia ialah suaminya, Venkataswamy, yang berusia 45 tahun.
Hasil siasatan polis mendedahkan bahawa wanita itu didakwa telah meracun suaminya.
Wanita berkenaan kemudiannya mengaku bahawa dia berbuat demikian untuk mendapatkan pampasan besar yang disediakan oleh kerajaan bagi kematian akibat serangan haiwan liar.
Menurut polis, pasangan tersebut bekerja sebagai buruh di sebuah ladang pinang.
Pada Isnin, seekor harimau dilaporkan terlihat di kampung Hejjur. Suspek mendakwa suaminya hilang dan kemungkinan telah dibaham oleh harimau tersebut, serta mayatnya telah diseret ke tempat yang tidak diketahui.
Pihak polis dan Jabatan Perhutanan melancarkan operasi bersama untuk mengesan mayat Venkataswamy.
Namun, pemeriksaan polis di sekitar rumah Venkataswamy menemui mayat mangsa yang disembunyikan di dalam timbunan najis lembu di belakang rumah.
Selepas disoal siasat, Sallapuri mengaku telah membunuh suaminya.
Dia menyatakan motifnya adalah untuk menuntut pampasan kerajaan yang lumayan bagi mangsa serangan haiwan liar.
Menurut pegawai, suspek telah merancang pembunuhan suaminya dengan mengambil kesempatan daripada khabar angin tentang harimau yang berkeliaran di kampung Hejjur.
Dalam keterangannya, Sallapuri mendakwa dia mendengar bunyi raungan harimau berdekatan dan pada ketika itu suaminya keluar dari rumah.
Dia juga mengakui bahawa semasa bekerja di ladang pinang, dia mendengar perbualan tentang kerajaan yang menyediakan pampasan sebanyak Rs15 lakh (RM71,454) untuk mangsa serangan haiwan liar, yang mendorongnya untuk merancang pembunuhan tersebut.
Kes ini dilaporkan di Balai Polis Hunasuru Rural dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Ringkasan AI
- Seorang wanita dari Mysuru ditahan kerana membunuh suaminya untuk mendapatkan pampasan dari kerajaan
- Wanita itu meracun suaminya dan mendakwa suaminya mati dibaham harimau untuk menuntut pampasan
- Pasangan tersebut bekerja sebagai buruh di ladang pinang dan wanita tersebut menggunakan khabar angin tentang harimau untuk merancang pembunuhan
- Mayat suaminya ditemui di dalam timbunan najis lembu di belakang rumah mereka
- Sallapuri, suspek, mengaku telah membunuh suaminya dengan tujuan mendapatkan pampasan sebanyak Rs15 lakh dari kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

