Penguatkuasaan perlu dilakukan tanpa berlengah lagi

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memastikan pengharaman sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini dilaksanakan segera demi kesihatan rakyat.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, beliau menyokong usaha itu kerana ia memberi banyak manfaat dari sudut kesihatan berbanding keuntungan kepada pihak tertentu.
“Saya amat setuju dengan apa yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan. Larangan ini mesti dilaksanakan secepat mungkin kerana kesihatan rakyat lebih penting daripada keuntungan syarikat atau peniaga.
“Saya harap ia benar-benar dilakukan oleh kerajaan, jangan ditangguh atau flip-flop,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata, tindakan tegas juga perlu diambil agar usaha melarang penjualan vape tidak sekadar melalui pengumuman semata-mata.
Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan memperketatkan penguatkuasaan kawasan larangan merokok yang sudah diwartakan termasuk di premis makanan.
“Contohnya, di kawasan kedai makan, (larangan merokok) berapa meter jauh daripada kedai makan. tetapi saya lihat perkara ini tidak dilaksanakan pun.
“Ramai yang masih merokok di kaki lima. Sebab itu kerajaan perlu pastikan penguatkuasaan kawasan larangan merokok yang telah diwartakan itu dilakukan habis-habisan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan kerajaan supaya menaikkan cukai rokok sebagai daripada langkah pencegahan terhadap tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.
Katanya, masalah kesihatan berpunca daripada rokok dan vape telah menyumbang kepada peningkatan kos rawatan di hospital yang akhirnya membebankan negara.
“Kita tengok bil hospital meningkat, ramai makan ubat tapi tidak sembuh kerana punca penyakit itu datang daripada tabiat merokok dan vape.
“Sebab itu saya berterima kasih kepada Menteri Kesihatan kerana memberi perhatian kepada isu ini demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan digesa memastikan pengharaman sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape demi kesihatan rakyat
- Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia menyokong pengharaman ini kerana manfaat kesihatan melebihi keuntungan
- Larangan penjualan vape perlu dilaksanakan secepat mungkin kerana kesihatan rakyat diutamakan
- Tindakan tegas diperlukan agar usaha melarang penjualan vape tidak hanya melalui pengumuman
- Mencadangkan kerajaan menaikkan cukai rokok sebagai langkah pencegahan merokok dan vape yang membebankan kos rawatan di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


