MBMB siasat 'port' menghendap di tandas awam Bukit Serindit

MELAKA - Video tular memaparkan beberapa kerusi di belakang tandas awam Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini yang didakwa sebagai 'port menghendap' hanyalah satu kebimbangan awam tanpa sebarang bukti kukuh setakat ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kawasan belakang tandas tersebut adalah terbuka dan mudah dilihat orang ramai, menjadikan ia tidak sesuai untuk aktiviti mencurigakan seperti yang didakwa.
Bagaimanapun beliau mengambil maklum aduan itu dan turut berterima kasih kepada individu terbabit kerana menzahirkan kerisauan, selain percaya sebarang kekurangan akan ditambah baik pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa akan datang.

"Setakat ini tiada laporan gangguan diterima dan ini aduan yang pertama kali kita terima.
"Namun begitu, kebimbangan orang awam wajar diberi perhatian,” katanya selepas melakukan tinjauan bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman pada Sabtu.
Terdahulu tular video berdurasi 27 saat sejak Jumaat mengenai seorang pengguna TikTok yang melahirkan kebimbangan reka bentuk pengudaraan tandas itu yang berisiko menjadi lokasi menghendap lebih-lebih lagi terdapat beberapa kerusi plastik di bahagian belakang tandas tersebut.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital menjelaskan, reka bentuk tandas yang menggunakan ventilasi semula jadi adalah bagi tujuan pengudaraan dan pencahayaan.

Malah beliau memaklumkan terdapat permintaan daripada orang ramai agar pencahayaan di kawasan itu dilanjutkan sehingga 24 jam, memandangkan waktu rekreasi berbeza bagi setiap individu.
"Tapi buat masa ni kita belum ada satu persetujuan ke arah itu lagi," katanya lagi.
Sementara itu, Shadan berkata, tandas berkenaan telah beroperasi lebih 10 tahun dan termasuk dalam senarai kemudahan yang akan dinaik taraf secara berperingkat.
“Kita memang ada perancangan setiap tahun untuk menaik taraf tandas awam MBMB termasuk aspek pencahayaan, infrastruktur asas, kemasan dalaman serta kelengkapan seperti mangkuk tandas.
“Peruntukan tahunan memang disediakan dan kita akan buat penambahbaikan supaya lebih selesa dan selamat digunakan pengunjung,” katanya.
Ringkasan AI
- Video tular memaparkan kebimbangan mengenai kerusi di belakang tandas awam Stadium Tun Fatimah, Melaka sebagai 'port mengendap' namun tiada bukti kukuh
- Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menyatakan kawasan tersebut terbuka dan mudah dilihat, tidak sesuai untuk aktiviti mencurigakan
- Beliau berterima kasih kepada individu yang menzahirkan kerisauan dan percaya pihak berkuasa tempatan akan membuat penambahbaikan
- Reka bentuk tandas menggunakan ventilasi semula jadi untuk pengudaraan dan pencahayaan, dan terdapat permintaan untuk pencahayaan 24 jam
- Tandas telah beroperasi lebih 10 tahun dan akan dinaik taraf secara berperingkat termasuk pencahayaan, infrastruktur asas, dan kelengkapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

