Lelaki rentung, seorang lagi cedera dalam kebakaran

KOTA KINABALU - Seorang lelaki rentung manakala seorang lagi cedera ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan lapan rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, identiti mangsa rentung berusia 39 tahun dan cedera masih belum diketahui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.58 petang.
Katanya, seramai 15 anggota bersama 15 lagi anggota dari BBP Kota Kinabalu serta Penampang telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari BBP Lintas.
"Kejadian melibatkan lapan rumah jenis separuh kekal di mana kesemuanya musnah akibat kebakaran tersebut dan operasi memadamkan api segera dilakukan menggunakan sumber air dari jentera, tangki air dan pili bomba berhampiran.

"Dalam kejadian itu, terdapat seorang mangsa dilaporkan cedera akibat terjatuh semasa terjun dari rumah untuk menyelamatkan diri dan pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki rentung berhampiran dengan stor rumah pertama yang terbakar," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Katanya lagi, mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
"Mayat mangsa rentung pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.08 petang namun kerja-kerja memadamkan sepenuhnya api masih sedang dilakukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
