Wasiyyah warnai Tanjong Karang dengan larian sawah padi

TANJONG KARANG - Larian Sawah Padi Tanjong Karang (LSPTK) 2025 yang memasuki edisi ketiga tahun ini terus mendapat sambutan hangat apabila berjaya menarik lebih 3,500 penyertaan daripada pelbagai peringkat usia.
Acara larian sejauh lapan kilometer yang berlangsung di Padang SK Sri Tiram, Tanjong Karang pada Ahad lalu anjuran Pertubuhan Keusahawanan Sepakat Unggul Malaysia (PKSUM) dan Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah) sebagai penaja utama itu turut menawarkan pengalaman unik dengan berlari dikelilingi hamparan padi yang menghijau.
Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin berkata, sokongan diberikan selaku penaja utama bagi acara itu menunjukkan komitmen syarikat terhadap pembangunan komuniti dan kesejahteraan masyarakat.
"Wasiyyah berbesar hati dapat bersama komuniti Tanjong Karang dalam acara kali ketiga ini. Kami percaya gaya hidup sihat dan kesedaran merancang harta adalah dua perkara penting untuk kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
"Selain itu, program ini turut diselitkan dengan aktiviti sampingan lain antaranya memperkenalkan kepentingan perancangan harta secara patuh syariah melalui reruai pameran dan aktiviti sampingan di lokasi acara," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sepanjang laluan larian itu peserta turut diserikan dengan 'checkpoint' istimewa seperti persembahan muzik, juadah tradisi dan tempat bergambar atau 'OOTD'.
"Peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja dari sekitar Selangor tetapi turut menarik penyertaan dari luar negeri," jelasnya.
Acara yang menawarkan pengalaman unik dan menyeronokkan itu turut menawarkan pelbagai aktiviti tambahan lain seperti karnival mini dengan gerai makanan, pameran komuniti dan persembahan pentas.
Selain itu, pelakon popular tanah air yang juga duta rasmi Wasiyyah, Datuk Rosyam Nor membuat penampilan istimewa dalam sesi sembang santai mengenai pengurusan harta pusaka.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, penganjuran yang memasuki edisi ketiga itu turut membuktikan sokongan berterusan masyarakat terhadap acara sedemikian.
"Dengan kerjasama erat antara PKSUM dan Wasiyyah, acara ini dijangka terus menjadi platform tahunan yang menyatukan komuniti dengan nilai sihat, harmoni serta terancang," jelasnya.
Ringkasan AI
- Larian Sawah Padi Tanjong Karang 2025 mendapat sambutan hangat dengan lebih 3,500 penyertaan
- Acara lapan kilometer itu menawarkan pengalaman berlari di tengah-tengah hamparan padi hijau
- Wasiyyah Shoppe Berhad merupakan penaja utama, menekankan gaya hidup sihat dan perancangan harta patuh syariah
- Peserta larian bukan sahaja dari sekitar Selangor tetapi juga dari luar negeri
- Acara turut merangkumi karnival mini dan sesi sembang santai dengan Datuk Rosyam Nor tentang pengurusan harta pusaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

