Lelaki pakai kostum kartun disyaki lakukan amang seksual budak perempuan enam tahun

BACHOK – Polis menahan seorang lelaki yang memakai kostum kartun kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di kawasan taman permainan Pantai Irama di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd Azrie Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada jam 6.20 petang ketika suspek yang berusia 36 tahun itu didakwa memeluk, mencium dan menyentuh mangsa.
“Perbuatan itu turut dirakam seorang orang awam yang berada di lokasi.
“Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini (Jumaat) hingga Khamis depan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di kawasan awam dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya melihat sebarang perlakuan mencurigakan.
Ringkasan AI
- Polis menahan seorang lelaki berpakaian kartun atas dakwaan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan enam tahun
- Kejadian amang seksual berlaku di taman permainan Pantai Irama, Bachok
- Suspek berusia 36 tahun didakwa memeluk, mencium, dan menyentuh mangsa
- Suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah
- Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

