Bekas pengarah syarikat kuari didenda RM15,000, simpan diesel haram

Ting Sing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 6,191 liter minyak diesel tanpa permit, dua tahun lalu.
Ting Sing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 6,191 liter minyak diesel tanpa permit, dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH – Seorang bekas pengarah sebuah syarikat kuari didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memiliki 6,191 liter minyak diesel tanpa permit dua tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Ting Sing, 60, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan pada Jumaat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain menetapkan wang jualan diesel berjumlah RM16,715.70 dilucuthak kepada kerajaan.

Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didapati memiliki bahan api berjadual terbabit bagi kegunaan syarikat Nss Infraworks Sdn Bhd tanpa kebenaran pengawal di sebuah premis di Mukim Hulu Kinta, Kanthan, Chemor jam 3 petang pada 16 Mac 2023.

Kesalahan dilakukan itu melanggar Peraturan 18(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pertuduhan dilakukan di bawah Peraturan 21 peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhamad Hanif Abd Azis manakala tertuduh diwakili peguam, S Morgan.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!