Ejen 001, Al Ameen tawar dokumen palsu imigresen cecah RM15,000 tumpas

Zakaria
Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menawarkan dokumen imigresen palsu mencecah RM15,000 seunit dan berselindung di sebalik pejabat serta kedai telefon bimbit adalah antara taktik licik dua sindiket warga asing yang tumpas dalam dua serbuan berasingan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Selasa lalu.

Operasi dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu membawa kepada penahanan sembilan individu membabitkan warga China, Myanmar dan Bangladesh yang aktif dalam kegiatan pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan pas imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 12.10 tengah hari dijalankan di tiga lokasi sekitar Jalan Ampang dan Jalan Kia Peng.

Beliau berkata, enam individu ditahan termasuk lima warga China dan seorang warga Myanmar berusia antara 28 hingga 41 tahun dipercayai ahli sindiket 'Ejen 001'.

"Siasatan mendapati seorang lelaki warga China merupakan dalang utama yang menawarkan perkhidmatan permohonan Pas Lawatan Sosial dan Pas Khas kepada warga senegaranya.

"Bayaran dikenakan antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap perkhidmatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kegiatan sindiket itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan berselindung di sebalik sebuah pejabat yang dijadikan pusat operasi bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Antara barangan yang dirampas termasuk 23 pasport China, satu pasport Vanuatu, dua CPU, cop premis dan empat telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu turut dirampas dua kad pekerja, dua set salinan permohonan MDEC, satu dokumen perjalanan China dan wang tunai RM50,000," katanya.

Zakaria berkata, dalam serbuan kedua dijalankan pada jam 5.42 petang di tiga premis sekitar Jalan Raja Laut melibatkan tangkapan tiga lelaki warga Bangladesh berusia 24 hingga 32 tahun.

"Siasatan mendapati suspek merupakan ahli sindiket dikenali sebagai 'Al Ameen' yang aktif dalam pemalsuan dokumen ePLKS.

"Hasil risikan selama tiga minggu mendapati sindiket ini menyasarkan warga Bangladesh tanpa pas kerja sah, kod QR pada ePLKS palsu yang digunakan didapati milik individu lain dan tidak mempunyai rekod sah," katanya.

Menurutnya, sindiket itu turut berselindung di sebalik kedai telefon bimbit dan mengenakan bayaran antara RM30 hingga RM70 untuk setiap ePLKS palsu.

"Antara barang yang dirampas termasuk 18 pasport Bangladesh, satu pasport Pakistan, tiga komputer riba, dua mesin pencetak, CCTV, lesen DBKL dan wang tunai RM3,446.

"Kesemua suspek dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Lapan warga tempatan turut diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.

Jelas beliau, JIM akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras sebarang aktiviti pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen demi keselamatan serta kesejahteraan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!