Fattah Amin sudah, Syed Saddiq bila lagi?

AKHIRNYA terjawab sudah teka-teki. Pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman bukan lagi sekadar digosipkan, tetapi sudah rasmi mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga.
Khabar ini segera menjadi sorotan utama dunia hiburan tanah air kerana kedua-duanya mempunyai kelompok peminat yang cukup setia.
Fattah dengan pesona hero dramanya sering dilihat sebagai idola generasi muda, sementara Amira yang pernah mencuri tumpuan dengan bakat nyanyian dalam program realiti kekal dengan imej sederhana dan merendah diri.
Bila digabungkan, mereka tampak seperti pasangan idaman ramai - cantik, berbakat dan penuh aura selebriti.
Merak Jalanan lihat pengumuman perkahwinan selebriti itu menjadi bahan sembang hangat di ruang media sosial rakyat marhaen. Ia seakan-akan menghiburkan kita yang penat melayan isu politik dan ekonomi.
Namun di sebalik sorakan gembira buat Fattah dan Amira, warganet tidak melepaskan peluang melontarkan soalan nakal, bila pula giliran tokoh politik muda kita, Syed Saddiq?
Ahli Parlimen Muar itu bijak berhujah, kerap tampil bersahaja di khalayak dan sering menjadi bahan bualan, tetapi soal jodoh masih tanda tanya.
Lebih mencuit hati, nama Bella pula dikaitkan sekali dalam gurauan alam maya. Kata mereka, kalau Fattah dan Amira sudah berani melangkah ke fasa baharu, takkanlah Syed Saddiq dan Bella mahu terus ‘berteka-teki’?
Sama ada serius atau sekadar gurauan, hakikatnya rakyat kita memang suka menyeimbangkan gosip dengan berita serius.
Kali ini, selepas Fattah-Amira sudah sah bakal berkahwin, giliran mereka menunggu jawapan satu lagi teka-teki: Syed Saddiq dan Bella, bila lagi?
Kisah ini mengingatkan Merak Jalanan dengan sebaris lagu daripada kumpulan rock legenda, Sweet Charity: “Jangan tak jadi, orang kampung semua sudah tahu.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
