Fattah, Amira nikah 14 September ini

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Desas-desus hubungan cinta antara pelakon, Fattah Amin dan Amira Othman akhirnya terjawab apabila kedua-duanya bakal mendirikan rumah tangga pada 14 September ini.
Fattah, 35, menyifatkan Amira, 32, sebagai wanita yang penuh dengan kelembutan serta tinggi adab, membuatkan dirinya nekad memperisterikan pelantun lagu Hati-Hati itu.
Pengumuman itu dibuat di majlis pada pelancaran video muzik rasmi single baharu Amira dan adiknya, Irfan Haris berjudul Rasa dan Takdir di Imperial Lexis, di sini pada Isnin.
Difahamkan, perjalanan majlis pernikahan yang dinamakan Setulus Takdir: Fattah Amira akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV Ahad ini pada jam 9 malam.
"Selama ini, kami cuma rakan sekerja. Namun, Alhamdulillah, kami bakal menjadi rakan serumah pula. Persiapan juga lancar dan doakan yang baik-baik.
"Saya sukakan Amira kerana dia seorang wanita yang penuh dengan adab, sopan santun dan sangat baik," kata Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin.
Fattah turut menambah, dia bersyukur kerana selepas lama disimpan kemas, hubungan cinta dengan Amira yang menjadi teka-teki orang ramai berakhir ke jinjang pelamin.
Ketika pengumuman itu dibuat, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman kelihatan lega apabila akhirnya dapat berkongsi berita baik sedemikian kepada rakyat Malaysia, sekali gus mengesahkan hubungan mereka dan bukannya gosip semata-mata.
Lebih menarik lagi, momen romantis itu turut disaksikan ahli keluarga Amira, sahabat handai dan rakan media yang hadir sama ke majlis pelancaran tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

