Kes saman fitnah Tuan Ibrahim terhadap Rafizi selesai secara baik

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes saman fitnah difailkan oleh bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli selesai secara baik di luar mahkamah.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan kedua-dua bekas menteri itu, mereka sepakat bahawa sebarang salah faham wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik negara.
Menurut kenyataan itu, Tuan Ibrahim bersetuju menarik balik saman fitnah terbabit, manakala Rafizi pula akan menurunkan semua kandungan berkaitan yang dimuat naik di media sosialnya.
“Pada 17 November 2022, Tuan Ibrahim memfailkan saman sivil terhadap Rafizi yang membangkitkan beberapa persoalan tentang fungsi dan peranan seorang menteri dalam tempoh kerajaan caretaker selepas pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Antara isu dibangkitkan Rafizi ialah dakwaan wujud usaha penganugerahan satu projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion kepada Mangkubumi Sdn Bhd semasa kerajaan caretaker oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika Tuan Ibrahim menerajui kementerian tersebut,” kata kenyataan bersama itu pada Selasa.
Persoalan itu ditimbulkan melalui kenyataan media Rafizi terdahulu berdasarkan maklumat dan dokumen yang diperoleh daripada sumber dipercayai.
Justeru, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bersetuju menurunkan semua posting media sosial di bawah kawalannya berkaitan isu berkenaan bagi mengelakkan perkara itu berpanjangan serta menimbulkan salah faham terhadap Tuan Ibrahim.
Kenyataan bersama itu turut menjelaskan bahawa isu keterlibatan Tuan Ibrahim dalam penganugerahan projek tersebut bukanlah tumpuan utama kenyataan media Rafizi sebelum ini.
“Memandangkan isu berkenaan keterlibatan Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan projek tebatan banjir kepada syarikat itu bukanlah sebenarnya tumpuan kenyataan-kenyataan media Rafizi terdahulu semasa kerajaan caretaker oleh KASA.
“Justeru, keterlibatan Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan projek tersebut tidak lagi berbangkit di antara pihak-pihak. Tuan Ibrahim bersetuju menarik balik saman sivil tersebut,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kedua-dua pihak bersependapat bahawa sebarang perselisihan dan salah faham wajar diketepikan atas semangat penyelesaian berhemah demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
