SOPMA tidak diiktiraf, Kelantan hanya salur RM10,000

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan hanya menyediakan sumbangan tunai sebanyak RM10,000 bagi membolehkan Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, status SOPMA yang tidak diiktiraf dalam mana-mana kategori di peringkat persekutuan atau negeri, seperti Sukan Malaysia (Sukma) atau Para Sukma, menimbulkan masalah dari segi bantuan dana.

“Saya telah merujuk kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negeri) dan sebagainya, tetapi menerima maklum balas sama, iaitu SOPMA tidak diiktiraf dalam mana-mana kategori sukan.

“Di peringkat nasional, acara sukan yang diiktiraf ialah Sukma bagi kategori atlet normal dan Para Sukma bagi kategori atlet berkelainan upaya. Manakala atlet pekak tidak diletakkan dalam mana-mana kategori dan itulah aspek yang membangkitkan masalah,” katanya pada sidang akhbar di Kota Darulnaim pada Selasa.

Menurut beliau, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, MSN serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS) memang tidak menyediakan peruntukan khusus untuk SOPMA.

Ujarnya, perkara itu merupakan antara isu yang perlu ditangani sejak beliau mula memegang portfolio sukan negeri.

Bagaimanapun, Zamakhshari berkata, kerajaan Kelantan tetap menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban kontinjen seramai 40 atlet dan pegawai pasukan dalam persiapan ke SOPMA Ke-22 di Sarawak pada Oktober nanti.

“Pada tahun lepas, apabila KelSDeaf membuat permohonan, kerajaan negeri membantu dengan menyediakan baju kontinjen. Bagaimanapun, untuk tahun ini, kita belum menerima apa-apa permohonan berkenaan perkara itu.

“Sebab itu kita beri sumbangan tunai secara pukal, supaya KelSDeaf boleh menggunakannya untuk pelbagai keperluan. Tetapi jika mereka mengemukakan permohonan, kita boleh mempertimbangkan kerana saya rasa tidak perlu masa lama untuk menyediakan pakaian kontinjen,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau lagi, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan daripada KelSDeaf berkaitan penyediaan pakaian kontinjen, namun perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya permohonan dikemukakan kelak.

Media sebelum ini melaporkan KelSDeaf memerlukan dana sebanyak RM110,000 untuk menyertai SOPMA pada 1 hingga 7 Oktober depan di Sarawak.

Presidennya, Saiful Helmie Dzamani berkata, jumlah itu diperlukan bagi menampung keperluan 40 atlet termasuk pegawai sepanjang kejohanan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!