Sajjad, rakan didakwa angkut 9 migran Pakistan seludup

Sajjad (dua dari kiri) dan Hameed (dua dari kanan) dikawal polis ketika tiba di Mahkamah Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Sajjad (dua dari kiri) dan Hameed (dua dari kanan) dikawal polis ketika tiba di Mahkamah Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mengangkut sembilan migran lelaki senegara yang diseludup bulan lalu.

Tertuduh, Sajjad Saeed Abdul, 27, dan Hameed Gul Mehrab, 32, didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan terhadap Sajjad Saeed, dia didakwa mengangkut lima migran warga Pakistan berusia antara 20 hingga 30 tahun yang diseludup menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza pada jam 9 malam di bahu jalan pintasan Machang–Kuala Krai, Machang pada 13 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan Hameed pula, dia didakwa mengangkut empat migran warga Pakistan berusia 19 hingga 40 tahun yang diseludup menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada jam 10.10 malam di bahu jalan Kampung Telaga Tujuh, Machang pada tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Nur Kamilah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana kes di bawah Atipsom 2007 tidak boleh dijamin.

“Kedua-dua tertuduh masuk ke negara ini sejak 2017 dan mempunyai pasport,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, mereka bekerja di sebuah kedai perabot di Kuala Krai selain boleh berbahasa Melayu.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!