Kes RM169 juta babitkan Ismail Sabri, belum ada keputusan tuduh sesiapa - SPRM

Azam Baki (tengah) ketika sidang akhbar mengenai kes Ismail Sabri di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.
Azam Baki (tengah) ketika sidang akhbar mengenai kes Ismail Sabri di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Pendakwa Raya (TPR) masih belum membuat keputusan sama ada untuk mendakwa mana-mana individu berhubung kes pengisytiharan aset melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan telah selesai dan pihaknya menyerahkan kepada TPR untuk menentukan tindakan lanjut.

"Siasatan telah lengkap dan kita serahkan kepada TPR sama ada untuk mendakwa atau tidak mana-mana individu.

"Selepas keputusan tidak mencabar pelucuthakan dibuat, proses itu bermula hari ini dan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam hasil kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Mahkamah Sesyen pada Isnin diberitahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Hakim Suzana Hussin kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang berkenaan dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pada 7 Julai lalu, SPRM memohon melucuthak wang tunai lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang asing yang disimpan Mohammad Anuar dan didakwa milik Ismail Sabri untuk diserahkan kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Turut disita dalam siasatan sama ialah wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas dianggarkan bernilai RM7 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!