Peniaga bazar Ramadan didenda RM2,500 jual ayam panggang tercemar

HULU TERENGGANU – Seorang peniaga bazar Ramadan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Berang pada Isnin atas dakwaan menjual ayam panggang berempah tercemar yang mengandungi bakteria pada Mac lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Mohd Zukeri Bidin, 53, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norsyuriza Zulkifli.
Bagi kesalahan itu, OKS turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa menjual ayam panggang berempah kepada pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Hasil analisis sampel mendapati ia mengandungi Coliform 9.2 x 10³ CFU/g.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.30 petang di sebuah premis di Bazar Ramadan Ajil, pada 10 Mac lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dibaca bersama Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KKM, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) Mohd Hamdan Jusoh @ Mamat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
OKS bagaimanapun menjelaskan bayaran denda yang dikenakan ke atasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
