Cuti tambahan 15 September: Port Dickson, Hatyai jadi tumpuan carian percutian

Port Dickson jadi tumpuan carian percutian sempena cuti tambahan 15 September.
Port Dickson jadi tumpuan carian percutian sempena cuti tambahan 15 September.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September sempena sambutan Hari Malaysia mencetuskan lonjakan besar dalam aktiviti perancangan percutian masyarakat apabila platform pelancongan digital, Agoda merekodkan peningkatan carian penginapan domestik sehingga 245 peratus.

Carian ke destinasi antarabangsa turut meningkat sebanyak 117 peratus berbanding dua minggu sebelumnya.

Antara destinasi luar negara paling mendapat perhatian ialah Hat Yai (203 peratus), Bangkok (73 peratus), Singapura (169 peratus), Pulau Batam (221 peratus) dan Bali (60 peratus).

Bagi destinasi domestik pula, Port Dickson mencatatkan lonjakan tertinggi dengan peningkatan carian 373 peratus, diikuti Pulau Pinang (260 peratus), Melaka (254 peratus), Kuala Lumpur (232 peratus) dan Langkawi (175 peratus).

Pengarah Negara Agoda untuk Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, carian penginapan domestik dan antarabangsa itu melonjak selepas hanya beberapa jam cuti tambahan tersebut diumumkan.

Menurutnya, peningkatan itu menunjukkan betapa responsifnya rakyat Malaysia terhadap cuti tambahan.

“Setiap kali adanya cuti panjang, aktiviti percutian pasti akan menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan warga Malaysia.

“Data menunjukkan peningkatan serta-merta dalam aktiviti carian ke destinasi tempatan dan serantau.

“Inilah bukti bahawa warga Malaysia gemar memanfaatkan sepenuhnya hujung minggu yang panjang, baik untuk percutian di dalam negara mahupun luar negara,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Menurutnya, hari kelepasan itu bertujuan menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia, di samping menggalakkan rakyat menjalinkan silaturahim bersama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.

Tambah Fabian, dengan trend percutian spontan yang semakin meningkat, Agoda kekal sebagai platform pilihan utama bagi perancangan perjalanan saat akhir.

“Dengan lebih 6 juta tempat penginapan percutian, 130,000 laluan penerbangan, dan 300,000 aktiviti liburan di seluruh dunia, Agoda memudahkan warga Malaysia melancong dengan bajet lebih rendah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!