PAT Bersatu kecoh: Polis buka kertas siasatan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohd Iqbal)
A
A
A

SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang juga ketua keselamatan Bersatu pada jam 12.18 tengah malam.

"Pengadu sedang bertugas ketika ucapan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melihat dua lelaki yang juga merupakan ahli Bersatu telah bangun dan menjerit menggangu ucapan tersebut.

"Pengadu kemudian pergi ke arah salah seorang lelaki itu bagi menenangkannya, namun dia telah ditarik dari belakang sehingga jatuh dan berlaku kekecohan di dalam dewan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Iqbal berkata, insiden itu berjaya dikawal dengan baik oleh beberapa ahli Bersatu yang lain dengan membawa keluar kedua-dua lelaki itu dari dewan dan perhimpunan berjalan seperti biasa.

"Pengadu atau mana-mana individu lain tidak mengalami apa-apa kecederaan dan tiada kerosakan harta benda dilaporkan," katanya.

Menurutnya, pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar.

"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil iaitu kelakuan aib.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintenden Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!