'Malam tadi kita telah kecewakan abah' - Hilman Idham

SHAH ALAM - Ahli dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan nama baik parti dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, ini kerana kekecohan ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan bukan sahaja menjejaskan imej parti tetapi juga turut melukakan hati Ahli Parlimen Pagoh yang mesra disapa ‘abah’ itu.
“Kita ada tanggungjawab, malam tadi kita telah kecewakan abah. Kita telah lukakan hati abah. Jadi, kita ada tanggungjawab sebagai anak untuk pertahankan nama baik parti.
“Saya hendak ajak kita semua..keluarga besar Bersatu untuk jaga nama baik keluarga kita dan harap dapat selesaikan ruang yang keruh,” katanya ketika menggulung ucapan dasar Ketua Armada sempena Perhimpunan Agung Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Idea (IDCC), Shah Alam pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, kekecohan dan pergelutan berlaku ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar presiden pada malam Sabtu.
Kekecohan itu berlaku di bahagian tengah dewan dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menyentuh mengenai wujud gerakan mengumpulkan akuan bersumpah (SD) untuk menjatuhkan beliau.
Mengulas lanjut, Muhammad Hilman berkata, ahli dan kepimpinan parti perlu bersatu untuk menuju kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Katanya, parti ketika ini berada di landasan tepat untuk kembali mentadbir negara dan atas dasar itu setiap permasalahan yang timbul perlu ditangani segera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


